Syor benarkan produksi luar masuk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM) mengesyorkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengaktifkan semula Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) termasuk melaksanakan operasi atas talian berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pegawai Eksekutif CCAM, Datuk Mohd Mahyidin Mustakim, berkata pembukaan PUSPAL membantu syarikat produksi antarabangsa menyiapkan perincian seperti proses kelulusan skrip dan permit kerja selain permohonan baharu.

“Selain usaha membuka semula industri kreatif, ada satu perkara kerajaan terlepas pandang sedangkan ia mampu memberi impak besar kepada ekonomi industri perfileman tempatan iaitu kemasukan produksi dari luar negara.

“Selain membantu mempromosikan Malaysia (sebagai destinasi bikin filem), kemasukan syarikat produksi asing membantu dalam aspek sumber kewangan ke negara ini.

“Langkah ini membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan skil serta teknologi pekerja seni tempatan. Kehadiran syarikat produksi dari luar negara ke Malaysia juga membantu sektor ekonomi lain kerana pihak terbabit menyewa penginapan, alatan penggambaran, pengangkutan, khidmat pasca produksi dan makanan,” katanya kepada BH Online.

Pelaksanaan program Insentif Filem di Malaysia pada 2014 yang menawarkan rebat 30 peratus kepada produksi antarabangsa menjalani penggambaran di Malaysia, menarik minat ramai penggiat filem asing menjadikan negara ini sebagai lokasi ‘shooting’.

Sejak itu, beberapa filem asing menjalani penggambaran di Malaysia seperti Marco Polo, Black Hat, Six Underground dan Manalorian.

Mahyidin berkata, pembukaan PUSPAL membantu syarikat produksi antarabangsa mengatur perancangan projek dan mengelak mereka menanggung kerugian besar.

Mahyidin mendakwa, sejak kerajaan menutup pintu kepada syarikat produksi asing berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 15 projek bikin filem dibatalkan dan penerbit beralih ke negara lain.

“Ini mendatangkan kerugian sebanyak RM1.1 bilion sedangkan sejak enam tahun lalu, projek filem luar negara menjadi penyumbang terbesar kepada industri perfileman tempatan dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CCAM, Datuk Mohd Mahyidin Mustakim.
Ketua Pegawai Eksekutif CCAM, Datuk Mohd Mahyidin Mustakim.

 

Mahyidin berkata, negara seperti Australia, New Zealand dan United Kingdom (UK) sudah membuka pintu kepada produksi asing dengan pematuhan SOP ketat.

“Kita boleh melakukan perkara serupa dengan mengenakan SOP ketat termasuk kuarantin selama dua minggu setibanya kru di Malaysia.

“Syarat lain termasuk membuat ujian calitan sebelum penggambaran dan mengambil lokasi jauh daripada orang ramai untuk kerja ‘shooting’,” katanya.

Mahyidin berkata, lima projek filem antarabangsa menanti untuk memulakan penggambaran di Malaysia dengan pelaburan lebih RM317 juta yang mewujudkan 1,020 peluang pekerjaan kepada tenaga tempatan.

Sementara itu, Mahyidin berkata, agihan dana kerajaan melalui pelbagai inisiatif untuk industri kreatif tidak dapat dimanfaatkan selagi PPN melarang aktiviti penggambaran.

Tambahnya, mengikut ketetapan, tuntutan ke atas dana hanya dibayar kepada penerbit berdasarkan perkembangan semasa projek.

“Selepas produksi bergerak, barulah kerajaan salur dana yang kemudiannya dapat dimanfaatkan pemain industri lain seperti pelakon, kru, pembekal alatan penggambaran termasuk pembuat teh,” katanya.

Sehubungan itu, Mahyidin berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) diharap menimbang semula larangan melakukan aktiviti penggambaran bagi membolehkan penggiat seni menyambung kerja tertangguh.

“Ketika ‘lampu hijau’ diberi kepada syarikat produksi menyambung penggambaran sebelum fasa ketiga PKP dilaksanakan pada 1 Jun lalu, SOP sangat dijaga penggiat industri sehingga belum ada kluster wujud,” katanya.

Sebelum ini, Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM46.9 juta serta pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM100 juta menjadi antara fasiliti yang ditawarkan kepada penggiat industri kreatif tempatan.

CCAM ditubuhkan pada 2011. Objektif persatuan adalah membantu mempromosikan pasaran kandungan tempatan ke luar negara dan mempromosikan Malaysia sebagai hab penggambaran.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat