Malam Rasi Jiwa Ghea Indrawari: malam yang membuatkan jiwa yang terluka terdengar indah

Ada malam yang datang sekadar untuk berlalu, dan ada malam yang diam-diam tinggal lama di hati. Malam konsert Rasi Jiwa oleh Ghea Indrawari di Zepp Kuala Lumpur terasa seperti sebuah perjalanan emosi yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Dari luar dewan lagi, suasananya sudah dipenuhi keterujaan. Ribuan peminat hadir membawa rasa yang sama, rindu untuk mendengar suara yang selama ini menemani hari-hari mereka melalui fon telinga dan skrin telefon.

Ghea Indrawari bagaikan senja yang turun perlahan, tenang, hangat, tetapi menyimpan luka yang sulit dijelaskan. Suaranya bukan jenis yang memaksa untuk didengar, melainkan yang diam-diam menetap di dada, seperti hujan kecil di malam sunyi. Ia membawa kesedihan dengan cara yang lembut. Dalam setiap nada, ada rasa rindu yang tidak berteriak, hanya berbisik pelan kepada hati yang pernah patah. Tatapannya sederhana, namun seperti menyimpan cerita panjang tentang harapan, kehilangan, dan keberanian untuk tetap bertahan. Ghea adalah seperti puisi yang tidak selesai dibaca dalam sekali duduk, semakin didengar, semakin terasa maknanya.

Saat lampu dewan mula malap dan muzik pembukaan perlahan berkumandang, sorakan penonton memenuhi setiap sudut Zepp. Kemunculan Ghea di atas pentas disambut begitu hangat, seolah-olah semua orang di dalam dewan sedang menyambut seorang teman lama yang akhirnya pulang. Tiada kemewahan yang berlebihan dan tiada percubaan untuk menjadi sesuatu yang bukan dirinya. Ghea hadir dengan kesederhanaan yang justeru membuat dirinya begitu dekat dengan penonton.

Konsert malam itu dibuka dengan lagu “Rasa Cinta Ini”, dan dari bait pertama lagi seluruh dewan sudah mula bernyanyi bersama. Suasana terasa intim walaupun dipenuhi ribuan manusia. Lagu demi lagu seperti “Malaikat” dan “Bucketlist” mengalir lembut, membawa penonton masuk ke dalam dunia emosi yang dibina Ghea sepanjang malam itu. Senyumannya di atas pentas kelihatan tenang, namun setiap lirik yang dinyanyikan terasa begitu dalam.

Salah satu momen paling menyentuh malam itu hadir ketika Ghea menyampaikan “Terima Kasih Sudah Bertahan”. Cahaya telefon mula memenuhi ruang gelap dewan, mencipta lautan kecil yang indah dipandang. Ada penonton yang menyanyi sambil tersenyum, ada juga yang sekadar diam memandang pentas dengan mata yang mula berkaca. Lagu itu terasa seperti pelukan buat sesiapa saja yang sedang lelah menjalani hidup. Dalam dunia yang terlalu bising dan penat ini, kadang-kadang manusia cuma mahu mendengar seseorang berkata bahawa mereka sudah melakukan yang terbaik.

Suasana kemudian berubah menjadi lebih emosional ketika “Masa Mudaku Habis” dimainkan. Lagu itu terasa begitu dekat dengan realiti ramai anak muda hari ini, tentang impian yang perlahan-lahan berubah menjadi tanggungjawab, tentang dewasa yang rupanya tidak seindah bayangan semasa kecil. Ada sesuatu pada cara Ghea menyampaikan lagu itu yang membuat seluruh dewan menjadi sunyi seketika, seolah-olah setiap orang sedang mengingat kembali versi diri mereka yang pernah penuh harapan.

Ketika “Berdamai” dinyanyikan, suasana menjadi semakin syahdu. Suara Ghea malam itu kedengaran begitu jujur, tidak berlebihan, tetapi cukup untuk membuat setiap lirik terasa hidup. Selepas itu, tayangan video selingan dimainkan seketika, memberi ruang kepada penonton untuk menarik nafas sebelum kembali hanyut dalam perjalanan emosi konsert tersebut.

Memasuki pertengahan persembahan, energi malam itu mula berubah. Lagu-lagu seperti “Oh Tuhan!”, “1000X”, “Tadi Malam”, dan “Kamu Anggap Apa” membuat suasana menjadi lebih rancak. Penonton mula melompat kecil, bernyanyi lebih kuat, malah ada yang menari bersama teman di sebelah mereka. Ghea juga kelihatan semakin santai berinteraksi dengan penonton, membuat seluruh dewan terasa lebih hidup dan dekat.

Salah satu kejutan paling istimewa malam itu hadir melalui “Daun Daun”, lagu terbaru daripada Ghea yang buat pertama kalinya diperdengarkan kepada penonton. Walaupun lagu tersebut tidak dinyanyikan secara langsung olehnya di atas pentas, momen itu tetap terasa sangat bermakna. Seluruh dewan seakan diam mendengar setiap bait yang dimainkan, memberi ruang kepada penonton untuk menikmati karya baharu itu dalam suasana yang cukup intim. Ada rasa istimewa apabila menjadi antara yang pertama mendengar sebuah lagu sebelum ia benar-benar menjadi milik ramai.

Bahagian akhir konsert menjadi kemuncak emosi malam tersebut. “Melangitkanmu” dan “Setengah Mati” membuat seluruh Zepp bernyanyi bersama tanpa henti. Tetapi saat yang paling dinantikan tentunya ketika intro “Teramini” dan “Jiwa Yang Bersedih” mula dimainkan. Sorakan penonton terus pecah memenuhi dewan. Lagu “Jiwa Yang Bersedih” malam itu terasa lebih daripada sekadar sebuah persembahan. Ia seperti ruang untuk semua orang melepaskan rasa sedih yang selama ini dipendam sendirian.

Ada sesuatu yang begitu indah ketika ribuan suara menyanyikan lirik yang sama dalam satu ruang. Untuk beberapa minit, semua orang di dalam Zepp seolah-olah berkongsi hati yang sama, hati yang pernah kecewa, pernah lelah, tetapi masih cuba bertahan.

Konsert Rasi Jiwa akhirnya ditutup dengan “Manusia Paling Bahagia”. Sebuah penutup yang terasa sempurna selepas perjalanan emosi sepanjang malam. Lagu itu hadir seperti cahaya kecil selepas hujan panjang, meninggalkan rasa hangat dalam dada setiap penonton yang hadir.

Saat lampu dewan kembali menyala dan orang ramai mula melangkah keluar dari Zepp Kuala Lumpur, ramai yang masih menyanyikan lagu-lagu Ghea perlahan-lahan. Ada yang tersenyum sendiri, ada yang masih termenung memikirkan lirik-lirik yang begitu dekat dengan hidup mereka.

Kerana ada malam yang berakhir sebaik muzik berhenti dimainkan. Tetapi malam Rasi Jiwa bersama Ghea Indrawari adalah jenis malam yang akan terus tinggal lama di hati, seperti puisi yang tidak pernah benar-benar selesai dibaca.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat