KUALA LUMPUR – Bersatu mendakwa UMNO cuba membuang imej kluster mahkamah dengan meletakkan calon-calon muka baru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor namun, ia masih tertakluk di bawah kuasa watikah yang ditanda tangani Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tidak mungkin Zahid akan calonkan kluster “UMNO soleh” yang mungkin akan melawan dia nanti.

“Mengaku sajalah bahawa UMNO sedang diperkudakan sepenuhnya oleh Zahid dan (Datuk Seri) Najib Razak untuk kepentingan peribadi mereka.

“Kalau UMNO betul-betul nak berubah, bukan buang imej, tapi buang kluster mahkamah tu! Seru Wan Saiful.

Kata beliau, UMNO nampaknya tercari-cari helah untuk membuang imej kluster mahkamah.

“Saya jangka salah satu strategi UMNO untuk membuang imej kluster mahkamah ialah dengan meletakkan muka-muka baru sebagai calon. Mereka akan kata bahawa dengan muka-muka baru itu menunjukkan kononnya UMNO ada imej baru.

“Mereka akan cuba sembunyikan fakta bahawa untuk menjadi calon UMNO, semuanya terpaksa sujud kepada Zahid kerana hanya Zahid seorang saja ada kuasa tandatangan watikah calon.

“Walaupun muka baru, semua calon UMNO tetap wajib menjadi budak-budak Zahid. Kalau tak sokong kluster mahkamah, mustahil Zahid akan beri watikah calon kepada mereka.

“Dalam kata lain, kluster mahkamah UMNO akan gunakan sepenuhnya kuasa watikah itu untuk pastikan semua calon di Johor adalah orang Zahid yang menyokong kluster mahkamah,” catat Wan Saiful di Facebooknya.