KUALA LUMPUR – (Kemaskini) Sejurus pemakluman tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor MUDA mengumumkan untuk merebut enam kerusi hasil kesepakatan dengan Amanah, DAP.

Dalam kenyataan, ketiga-tiga parti itu telah memuktamadkan pengagihan kerusi dan memutuskan MUDA sebagai pendatang baru untuk bertanding enam kerusi DUN di Johor.

Kesepakatan antara Amanah, DAP dan MUDA adalah bahawa MUDA akan bertanding di kerusi yang berikut iaitu N.5 Tenang; N.7 Bukit Kepong; N.22 Parit Raja; N.26 Machap; N.41 Puteri Wangsa dan N.50 Bukit Permai.

Kata ketiga-tiga parti itu kesepakatan ini dicapai setelah siri-siri mesyuarat dan perbincangan pelbagai hala dilakukan, keputusan rundingan rasmi antara semua parti ini .

“Rundingan rasmi ini telah bersetuju dengan tiga matlamat utama yakni memastikan tidak ada pertindihan kerusi antara calon Amanah, DAP dan MUDA di setiap kawasan; menumpukan usaha dan tenaga kerja jentera Amanah, DAP dan MUDA untuk memenangi setiap calon; dan bersama-sama menubuhkan Kerajaan Negeri Johor demi membantu rakyat mencapai impian mereka,” jelasnya.

Pun begitu, rundingan antara MUDA dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN ini.