CYBERJAYA – Telefon bimbit dan kad sim Ahli Dewan Undangan Sungai Burong Selangor, Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin telah disita bagi tujuan siasatan mengenai tuduhan palsu ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut merakam kenyataan Mohd Zamri bagi tujuan membantu siasatan polis.
MCMC dalam kenyataan medianya memberitahu mereka telah menerima aduan orang ramai berhubung akaun-akaun media sosial di platform Facebook yang didapati menyebarkan suatu hantaran palsu mengenai Perdana Menteri.
Hasil siasatan mendapati, kebanyakan akaun terbabit merupakan akaun palsu. Bagaimanapun salah satu akuan yang diadukan merupakan akaun milik Adun terbabit.
Rakam percakapan ADUN Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin telah dibuat pada 7 Januari 2025.
Dalam pemeriksaan yang dijalankan bersama PDRM, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan.
Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC memohon orang ramai untuk berhati-hati apabila memuat naik sebarang hantaran di media sosial dan memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan sahih.
Langkah ini bagi menjamin persekitaran dalam talian yang berintegriti dan selamat demi kesejahteraan rakyat. -SUARATV