Kos pasang pengecas, tingkat kapasiti pencawang cabaran besar EV

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kos pemasangan pengecas pantas DC yang sangat tinggi dan keperluan untuk meningkatkan kapasiti pencawang elektrik adalah cabaran besar dalam pembangunan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson, Lim Chern Yuan, berkata cabaran ini bukan sahaja membabitkan pemasangan pengecas, tetapi turut merangkumi pembinaan pencawang elektrik yang mencukupi untuk menyokong keperluan tenaga.

“Proses ini adalah kompleks dan memerlukan kos yang tinggi. Selain itu, peningkatan kapasiti pencawang elektrik menjadikan pelaksanaan pembangunan infrastruktur ini lebih rumit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Pandangan Pemimpin Ekonomi ASEAN bertajuk Halatuju Pelaksanaan EV di ASEAN di Menara MITI, semalam.

Menurut beliau, walaupun terdapat peningkatan peraturan untuk mengawal selia industri, usaha mempercepatkan pembangunan infrastruktur masih memerlukan kerjasama erat antara pemain industri dan pihak berkuasa.

“Dalam setahun kebelakangan ini, kita telah melihat kemajuan yang ketara. Namun, ini masih proses pembelajaran kerana industri EV melibatkan pelbagai kementerian seperti tenaga, tanah, dan alam sekitar, menjadikannya lebih kompleks,” lapor BH pada Khamis.

Chern Yuan turut yakin penerimaan EV akan meningkat lebih pantas jika model mampu milik dengan harga di bawah RM100,000 diperkenalkan dalam pasaran tempatan.

“Beberapa tahun lalu, bilangan EV di jalan raya sangat kecil, tetapi kini sudah mencecah 38,000 unit. Dengan adanya EV mampu milik, permintaan dijangka melonjak lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa cabaran lain termasuk permintaan pengguna yang masih rendah, kekurangan infrastruktur pengecasan, serta isu bekalan tenaga dan pencawang elektrik.

“Semua ini memerlukan masa dan kerjasama pelbagai pihak untuk diatasi. Namun, saya yakin Malaysia berada di landasan yang betul untuk memacu pertumbuhan industri EV yang mampan,” katanya.

Persatuan Kenderaan Bermisi Sifar Malaysia (MyZEVA) turut optimis bahawa jualan EV di negara ini akan melonjak kepada antara 30,000 hingga 35,000 unit pada tahun ini, berbanding sekitar 22,000 unit yang dicatatkan pada tahun lalu.

Presidennya, Wan Ahmad Zam Zam Wan Abd Wahab, berkata sehingga akhir tahun lalu, jumlah keseluruhan kenderaan penumpang dan komersial berkuasa elektrik sepenuhnya di Malaysia dianggarkan sebanyak 38,000 unit.

“Kami menjangkakan sumbangan jualan EV kepada jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual (TIV) di Malaysia akan terus meningkat daripada sekitar 2.7 peratus tahun lalu.

“Faktor utama yang menyokong pertumbuhan ini termasuk pelancaran EV pertama oleh PROTON pada penghujung tahun lalu yang mendapat sambutan positif, serta pengenalan EV oleh Perodua yang dijangka pada akhir tahun ini,” katanya.

Jumlah keseluruhan kenderaan baharu yang dijual (TIV) di Malaysia pada tahun lalu dianggarkan sebanyak 813,521 unit.

Persidangan ini turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Gentari Green Mobility, Mohamad Haikal Zubir, serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz, selaku moderator.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat