Dedah minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, tamatkan spekulasi – syor Supol Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak didedahkan kepada umum.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin berkata, ini bagi memberikan kejelasan dan menghentikan spekulasi sekitar pengampunan yang diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

“Saya harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri supaya rakyat tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat itu, apa pandangan telah dikemukakan serta keputusan diambil Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika itu.

“Dalam perkara ini kita perlu objektif dan bukannya bermain politik,” lapor BH.

Najib pada Isnin peroleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan suatu titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan beliau jalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Beberapa pihak menuduh kerajaan sorok titah tersebut, selepas peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah addendum itu.

Urusetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 Feb lalu mengumumkan hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda yang perlu dibayar Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib pada Julai 2020, selepas bekas presiden Umno itu didapati bersalah atas masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, serta satu pertuduhan salah guna kedudukan, berkait dana RM42 juta milik SRC International.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat