Bayaran Empat Inisiatif Bantuan Ringankan Beban Mangsa Banjir Bermula Esok – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Pembayaran empat inisiatif bantuan selanjutnya bagi meringankan beban mangsa banjir akan bermula esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menyalurkan wang bantuan itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk diserahkan kepada mereka yang terlibat dalam bencana tersebut, lapor Bernama.

Beliau berkata bayaran itu meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi kerosakan akibat bencana tersebut.

“Terdapat tiga kaedah pembayaran iaitu pemberian secara terus dengan menghantar ke rumah, berkumpul di pusat orang ramai seperti dewan dan sebagainya atau dikreditkan terus ke akaun penerima. Kita serahkan kepada pihak daerah untuk berbincang dengan ICU JPM dalam urusan pembayaran.

“Saya mahu pembayaran ini disegerakan dan jangan disulitkan…jangan ada macam-macam borang yang perlu diisi kerana senarai (mangsa banjir) sudah ada jadi tidak perlu borang. Prinsip kita jangan ada kerenah birokrasi yang susah sebaliknya mudahkah bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 daripada kerajaan Pusat dan RM500 sumbangan kerajaan Pahang kepada 478 mangsa banjir daerah Bera termasuk 45 mangsa banjir gelombang kedua di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Ber, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerja pembaikan rumah rosak yang melibatkan baik pulih kontraktor dilantik, telah mula dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Manakala bagi bantuan baik pulih kenderaan pula, Ismail Sabri berkata pejabat daerah dan tanah juga diminta menyenaraikan bengkel di kawasan terlibat supaya mangsa banjir tidak perlu ‘keluar jauh’ bagi mencari pusat servis kenderaan seperti Proton, Perodua atau jenama lain yang mungkin tidak terdapat dalam kawasan mereka.

Perdana Menteri berkata walaupun senarai mangsa banjir sudah ada di tangan pihak menguruskan bantuan, namun jika terdapat individu tercicir, mereka diminta merujuk kepada pejabat daerah, yang juga dipertanggungjawabkan menyiasat jika terdapat unsur penipuan dalam permohonan bantuan.

“Pegawai daerah boleh menyemak dengan ketua kampung yang tahu dan ada senarai rumah siapa yang ditenggelami air atau siapa yang berpindah ke rumah saudara-mara. Jika di pusat pemindahan sementara (PPS) kita sudah ada senarai (mangsa banjir).

“Di kampung kita juga ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan mereka juga boleh serahkan nama kepada pegawai daerah. Harap mereka dan ketua kampung akan membantu kerajaan mengenal pasti mangsa yang mengalami bencana ini untuk dibantu sebaiknya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat