Kalau Presiden Umno bukan Zahid, MN boleh dibentuk semula – Sanusi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) sebenarnya boleh dibentuk semula jika Presiden Umno bukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau malah kasihan dengan ahli serta pemimpin Umno di bawah yang terkesan dengan corak pemerintahan Zahid.

“Kita sebenarnya kesian dengan ahli serta pemimpin Umno di bawah.

“… dan MN sebenarnya boleh dibentuk semula jika Presiden Umno bukan Ahmad Zahid,” kata Menteri Besar Kedah itu.

Mengulas lanjut, Sanusi yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, perkataan gila talak lazimnya ditujukan kepada pihak yang menceraikan dan bukannya kepada golongan diceraikan.

“Yang menceraikan PAS lalu meruntuhkan MN adalah Presiden Umno dan bukannya PAS.

“Kami sedar mereka tidak bahagia bersama DAP hingga terpaksa memadam semula semua ucapan serta dokumen ditulis terhadap parti itu sejak puluhan tahun lalu.

“Mereka jilat kembali ludah terhadap DAP yang kini sudah menjadi sungai,” bidas Sanusi, lapor Utusan di Alor Setar.

Sementara itu, beliau berkata, kepemimpinan Umno ketika ini didakwa tidak memahami konsep dan makna penyatuan ummah yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam dan sangat diperlukan di negara ini.

Sanusi berkata, bagi pemimpin-pemimpin itu, penyatuan ummah hanya melibatkan gabungan Umno dan PAS.

Sedangkan kata beliau, intipati berkaitan penyatuan ummah sudah berkali-kali dijelaskan bahawa ianya melibatkan semua umat Melayu Islam termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Perkara itu tercatat jelas dalam Piagam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini tetapi apabila Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pulang daripada bercuti dan kembali menerajui UMNO daripada Datuk Seri Mohamad Hasan, beliau mahukan Pas dan Umno saja tanpa melibatkan Bersatu serta pihak-pihak lain.

“Ini kefahaman dan tindakan yang salah oleh Ahmad Zahid sedangkan tercatat jelas bahawa penyatuan ummah itu melibatkan semua umat Melayu Islam dan Bumiputera Sabah serta Sarawak,” katanya.

Akhbar itu melaporkan, barisan pemimpin Pas antaranya Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin serta Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilihat terbuka untuk menerima Umno dalam PN demi semangat penyatuan ummah sekali gus menguatkan lagi gabungan tersebut.

Begitu pun keterbukaan dan pelawaan PAS itu ditolak bulat-bulat oleh kepemimpinan Umno dengan Zahid sendiri menyifatkan parti itu sebagai gila talak.

Isu kerjasama antara kedua-dua parti itu kembali timbul setelah anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil membangkitkan bahawa Ahmad Samsuri boleh dilantik menjadi Perdana Menteri jika PN berjaya memujuk Umno untuk bermuafakat semula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat