KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac disifatkan tidak layak memegang jawatan berkenaan kerana didakwa menggalas tanggungjawab di luar bidangnya.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mengingatkan Hans bahawa kerosakan padang Stadium Nasional Bukit Jalil bukan seperti filem yang mana pelakon itu boleh berperan sebagai hero.
“Hans Isaac you don’t deserve this seat!!
“Ini bukan filem yang boleh berlakon hero,” tegas Dr Akmal.
Exco Melaka itu menasihatkan Hans, apabila mendapat sesuatu tanggungjawab yang di luar bidangnya apa yang penting ialah wajar mendengar daripada orang yang berpengalaman.
“Dengar nasihat daripada pekerja bawahan sampailah pegawai atasan sebelum buat keputusan.
“Bukan dapat jawatan,lepas tu degil rasa diri hebat dengan jawatan yang ada.
“Enough is enough lah,” bidas Dr Akmal.
Selepas beberapa hari kecoh mengenai isu kerosakan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akhirnya tampil membuat permohonan maaf.
Menerusi kenyataan media, semalam, PSM memohon maaf kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan penganjur saingan Piala Malaysia 2023.
PSM turut memohon maaf kepada semua peminat sukan bola sepak negara terutamanya pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) yang akan berentap di final Piala Malaysia, hari ini.
PSM mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November lalu.
Isnin lalu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga penaja rumput baharu jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional memuat naik gambar terkini padang di gelanggang berkenaan yang dilihat masih rosak selepas konsert Coldplay.
Situasi itu mencetuskan kemarahan peminat bola sepak tempatan kerana padang berkenaan tidak bersedia sepenuhnya bagi aksi final Piala Malaysia.