KUALA LUMPUR — Adalah lebih baik sekiranya anugerah usahawan muda paling berpengaruh diberikan kepada usahawan yang tidak berpihak atau terlibat dengan mana-mana parti politik ataupun pemimpin tertentu.
Naib Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata negara mempunyai ramai calon usahawan muda yang layak untuk menerima anugerah tersebut seperti pempengaruh media sosial Khairul Aming.
“Selama ini saya mengagumi Khairul Aming sebagai seorang usahawan yang mula dari sosial media sehingga dijemput menjadi Duta kepada Negara New Zealand dan Oman.
“Sungguh tidak disangka ada orang lagi hebat daripada itu iaitu Farhash, seorang usahawan muda berpengaruh, yang kebetulan bekas setiausaha politik Perdana Menteri.
“Kita begitu kagum dengan kebolehan (Datuk Seri) Farhash (Wafa Salvador) yang sebelum ini hanya pemain politik dan bukan usahawan, yang tiba-tiba, apabila menceburi dunia perniagaan, apa sahaja syarikat, terus mendapat kontrak-kontrak yang besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini Farhash yang merupakan Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri telah dinobatkan antara usahawan muda paling berpengaruh di negara ini pada Anugerah 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100 MIYE).
Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata melalui anugerah tersebut Farhash perlu berkongsi ilmu kejayaannya agar anak-anak muda mampu mengikut jejak langkah untuk menjadi ikon usahawan yang berjaya.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan kerajaan supaya menyediakan platform untuk anak muda mengembangkan bakat termasuk memudahkan proses bantuan geran-geran serta latihan perniagaan dan sebagainya.
“Walaupun sudah ada altenatif tersedia tetapi ia mestilah ditambahbaik setapak demi setapak seiring cabaran ekonomi semasa yang sentiasa berubah.
“Tiada guna kerajaan bercakap untuk mengangkat martabat usaha muda, pada masa sama tidak serius bukan sahaja dalam penyediaan dana bantuan tetapi juga dalam memastikan dana itu disalur, dimanfaatkan dan dipantau sebaik mungkin oleh usahawan-usahawan muda Malaysia.
Menurutnya lagu, kerajaan juga perlu menubuhkan pasukan pemantau yang tidak bebas di mana lantikan jawatankuasa itu terdiri daripada wakil kerajaan, pembangkang serta pakar-pakar untuk memastikan isu seperti FashionValet tidak berulang lagi.
“Usahawan kita juga mesti diberi pendedahan untuk manfaatkan kecanggihan teknologi pemasaran hari ini seperti Tik Tok dan sebagainya. Usahawan muda hari ini sangat kreatif dan mampu merangka strategi jualan di luar kotak.
“Pihak kerajaan perlu terbuka mendengar pandangan serta teguran daripada pembangkang secara positif dalam mengangkat usahawan muda, dan tidak melihat ianya sebagai perang kerana tugas pembangkang terutamanya gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah sebagai semak dan imbang kepada pemerintah” katanya.
Terdahulu, Farhash menerima anugerah tersebut pada 2 Nov lalu, dan diangkat menerusi kategori Usahawan Ikonik Tahunan kerana kemampuannya diiktiraf buat kali kedua sepanjang sembilan tahun penganjuran 100 MIYE.
Anugerah itu telah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, pada majlis yang berlangsung di ibu negara.