Muhyiddin sangat kecewa, anggap ganti rugi RM1.35 juta keterlaluan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin akui sangat kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memerintahkan Presiden Bersatu itu membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Susulan perintah berkenaan, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengarahkan peguamnya mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

“Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi pagi ini yang memerintahkan saya membayar pampasan kepada Lim Guan Eng.

“Walaupun saya menghormati keputusan mahkamah, saya sangat kecewa dengan keputusan itu.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk merayu terhadap keputusan itu kerana saya percaya bahawa kenyataan saya tidak memfitnah dan bahawa saya mempunyai pembelaan yang baik terhadap tuntutan itu dan bahawa jumlah yang diberikan oleh mahkamah adalah berlebihan,” ujar Ahli Parlimen Pagoh dalam kenyataan media pada Jumaat.

Justeru kata bekas Perdana Menteri itu, selaras dengan keputusan mahkamah, beliau akan mengalih keluar hantaran yang menjadi subjek tindakan ini daripada akaun Facebook dan media sosialnya.

Hari ini, Muhyiddin diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah Pengerusi DAP itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, mengeluarkan perintah berkenaan ketika membenarkan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan Guan Eng selaku plaintif terhadap Muhyiddin (defendan), berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.

Beliau sehubungan itu, memerintahkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.

Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng yang juga bekas menteri kewangan dalam kerajaan PH daripada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.

Ketika membacakan penghakimannya, Roz Mawar berkata tingkah laku Muhyiddin adalah tidak wajar kerana beliau mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya betul berhubung fakta (dalam kenyataan berkenaan).

Roz Mawar berkata Muhyiddin juga sengaja mencampur-adukkan dakwaannya dengan rujukan yang mengapi-apikan bangsa dan agama sambil menekankan peranan Yayasan Albukhary dalam membantu umat Islam melalui kerja amalnya.

Beliau berkata, mahkamah juga mendapati bahawa Muhyiddin tidak layak menggunakan pembelaan keistimewaan bersyarat kerana kenyataan ini tidak dibuat dalam konteks yang sesuai dan sebaliknya sebahagian daripada kempen awam.

Menurut Roz Mawar, kenyataan itu dibuat sejurus selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Muhyiddin, dan ia mencadangkan motif yang tidak wajar untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang dihadapinya.

Beliau berkata bukti niat jahat boleh mengatasi prinsip keistimewaan bersyarat, yang mana mahkamah dapati (bukti niat jahat itu ada) berdasarkan bukti bahawa defendan berniat untuk memesongkan siasatan terhadapnya dengan mengaitkan plaintif.

Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. Laporan itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Guan Eng mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Guan Eng berkata beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah yang menyatakan dengan jelas apa yang dinyatakan oleh Muhyiddin adalah tidak benar dan tidak berasas.

Guan Eng berkata, ia adalah sesuatu kenyataan yang amat menjejaskan dan juga boleh memberi kesan buruk kepada sebuah masyarakat majmuk berbilang kaum.

“Hari ini saya mendapat keadilan untuk membersihkan nama saya kerana sememangnya saya tidak buat (perkara yang didakwa),” katanya.

Pada prosiding itu, Guan Eng diwakili peguam Guok Ngek Seong manakala peguam Chetan Jethwani bertindak bagi pihak Muhyiddin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat