Polis Keluarkan 997 Permit Ceramah PRU15 Setakat Semalam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 997 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) setakat semalam, kata Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Abdullah.

Hazani berkata daripada jumlah itu, 193 permit dikeluarkan di Sabah, Sarawak (144), Johor (125), Selangor (113), Perak (102), Kedah (68), Negeri Sembilan (48), Melaka (46), Pahang (45), Kelantan (41), Terengganu (27), Pulau Pinang (21), Kuala Lumpur (15), Perlis (sembilan).

“Pada masa sama, polis mengesan 72 ceramah tidak mempunyai permit iaitu 21 di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (15), Perak (14), Selangor (13), Kedah (lima), Pahang (tiga) dan Kelantan (satu),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai kesalahan berkaitan PRU15, Hazani berkata di KEDAH dua lelaki tempatan ditahan dengan kes pertama membabitkan satu khemah pusat mengundi di Tapak Majlis Perbandaran Kulim Kedah, Taman Cili, Lunas dibakar manakala bendera Barisan Nasional (BN) dicabut dan dibuang ke dalam longkang.

“Satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan perbuatan khianat dan Seksyen 435 KK kerana khianat dengan api,” katanya.

Kes kedua pula dilaporkan di Pulau Langkawi apabila seorang lelaki membuat laporan diugut seorang lelaki lain yang tidak berpuas hati kerana pelantikannya sebagai ketua Pusat Daerah Mengundi cawangan Pulau Tuba.

“Suspek mengugut akan menumbuk pengadu jika terjumpanya di luar atau semasa berkempen dan suspek telah ditahan, selain satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 506 KK kerana melakukan ugutan jenayah.

Di PERAK, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 500 KK kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Kerian.

Hazani berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu memaklumkan rakaman ucapan Razman Zakaria iaitu calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol di Tapak Pasar Hari Tebuk Panchor mengandungi unsur fitnah dan berniat jahat ditujukan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di TERENGGANU, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 504 KK selepas dua kain rentang calon BN di Simpang Tiga, Tol Chukai, Kemaman dicemari dengan perkataan kesat.

Di JOHOR, jurucakap media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Supt Ibrahim Mat Som berkata dua kertas siasatan dibuka setakat semalam melibatkan siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 427 KK.

Beliau berkata siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 melibatkan insiden di Buloh Kasap, Segamat selepas terdapat parti yang membakar mercun dan bunga api manakala satu lagi kesalahan melibatkan bendera BN dicabut dan dicampak di kawasan Plentong.

Selain itu, polis Johor menahan seorang lelaki mabuk yang membuat provokasi dengan mematahkan kayu bendera BN di kawasan Taman Senai Utama, Senai, tengah malam semalam.

Sementara itu, di MELAKA Ketua Polis negeri Datuk Zainol Samah berkata sepanjang tiga hari tempoh berkempen, satu kertas siasatan dibuka susulan laporan membabitkan kejadian mencabut bendera parti politik dan dicampakkan di atas jalan raya di daerah Melaka Tengah.

Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah khianat dan setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes masih dalam siasatan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,480FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat