AC, Nabila gegar ABPBH 33

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sikap gila-gila, ditambah pula dengan pengalaman dalam dunia pengacaraan melayakkan Datuk AC Mizal, 48, dan Nabila Huda, 35, menggalas tanggungjawab mengemudi malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 yang akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 13 November ini.

Bagi AC, ini adalah tugasan kali kedua selepas mengacarakan anugerah berprestij itu bersama Elly Mazlein, tahun lalu. Manakala, Nabila pula kali pertama berdiri atas pentas ABPBH 33 sebagai hos. Pun begitu, ia bukan satu halangan untuk pasangan selebriti ini bekerjasama memandangkan antara AC dan Nabila sudah saling mengenali antara satu sama lain sekian lama.

Nabila berkata, walaupun wujud jurang generasi, namun sikap AC yang sentiasa memberikan sokongan memberikan keyakinan untuk menyahut cabaran itu.

“Saya terkejut, rasa seperti tidak percaya hingga hari ini apabila dilamar untuk untuk mengacarakan ABPBH. Tambah teruja apabila diberitahu bergandingan dengan AC. Maklum sajalah, kami dua generasi yang berbeza, beliau juga pengacara berpengalaman, manakala saya lebih kepada dunia lakonan.

“Bagaimanapun, AC banyak memberikan sokongan ketika kami berbual dan berbincang. Malah, AC minta saya bertenang dan tidak membebankan fikiran dengan tidak terlalu memikirkan tanggungjawab yang bakal digalas.

“AC meyakinkan saya mampu melakukan tugasan ini kerana ramai peminat suka dengan gaya saya bercakap dan ketawa.

“Sedikit sebanyak, kata-katanya membuatkan saya lebih bersemangat untuk melakukannya, selain rasa selesa memandangkan saya sudah mengenalinya sejak saya kecil lagi. Saya juga memanggilnya dengan gelaran Uncle,” cerita Nabila kepada BH Online.

 

Nabila Huda masih terkejut dan tidak percaya apabila dilamar untuk mengacarakan anugerah berprestij seperti ABPBH 33. - Foto IG Nabila Huda
Nabila Huda masih terkejut dan tidak percaya apabila dilamar untuk mengacarakan anugerah berprestij seperti ABPBH 33. – Foto IG Nabila Huda

 

Aktres yang pernah diangkat Pelakon TV Wanita Popular, ABPBH 27 pada 2013 itu berkata, dia lebih selesa mengamalkan sikap terbuka, memandangkan masih baru dalam dunia pengacaraan.

“Sebelum ini, saya dan AC bekerjasama dalam beberapa produksi, pernah bergandingan sebagai pengacara untuk program terbitan RTM, suatu ketika dahulu. Kami sudah saling mengenali, jadi saya tiada masalah kerana sudah tahu sikap AC. Kalau ada apa-apa yang kurang arif, saya akan terus bertanya dan belajar dengannya,” kata bintang filem Munafik itu.

Penganjuran malam kemuncak ABPBH 33 juga boleh dianggap melakar sejarah dalam industri hiburan tanah air apabila menjadi satu-satunya acara anugerah yang dalam situasi norma baharu. Selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, anugerah berprestij ini akan diadakan tanpa kehadiran kelab peminat atau penonton.

Mampukah pasangan ini menjadikan anugerah berprestij itu semeriah seperti sebelum wabak COVID-19 melanda?

Menjawab pertanyaan itu, anak kepada penyanyi lagenda, Amy Search itu memaklumkan pengalaman beraksi tanpa penonton bukan satu halangan buatnya sebagai pelakon.

“Saya tak anggap ketiadaan penonton menjadi satu masalah besar. Sebagai pelakon, saya pernah beraksi seorang diri di hadapan kamera, malah pernah membuat lawak jenaka, tetapi tiada orang ketawa. Anggap sahaja seperti sedang buat program rakaman,” katanya yang dicalonkan menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Datuk Fizz Fairuz menerusi drama Kamar Kamariah.

 

Datuk AC Mizal menggalas tanggungjawab mengemudi malam kemuncak ABPBH 33 buat kali kedua. - Foto IG AC Mizal
Datuk AC Mizal menggalas tanggungjawab mengemudi malam kemuncak ABPBH 33 buat kali kedua. – Foto IG AC Mizal

 

Umumnya mengetahui berlaku satu insiden gurauan AC terhadap Elly atau lebih dikenali dengan nama Kak Lina Pom Pom yang dikatakan mengguris hati pelakon dan pengacara itu ketika mengendalikan malam kemuncak ABPBH, tahun lalu. Insiden itu meletakkan AC atau nama sebenanya, Mizal Zaini dalam situasi penuh bara apabila menerima kecaman netizen bertalu-talu.

Apakah kontroversi itu berbekas di hati dan memberi pengajaran kepada bekas anggota kumpulan rap, 4U2C itu untuk lebih berhati-hati?

Mengulas pertanyaan itu, AC berkata, sebagai manusia, pasti berlaku kesilapan, namun ia berlaku bukan atas niat mahu memalukan sesiapa.

“Jujurnya, saya tidak niat langsung memperlekehkan bentuk tubuh sesiapa, tetapi saya sekadar bergurau, ketika itu. Saya menjangkakan, gurauan sama akan dibalas oleh rakan gandingan. Malangnya, ia tidak berlaku. Biasalah, apabila mengacarakan acara secara langsung, kita tak terlepas membuat kesilapan.

“Sebagai pengacara, saya kena pantas bertindak. Apabila melihat situasi agak hambar, saya kena buat sesuatu untuk menghidupkan semula situasi untuk menjadi lebih meriah. Momentum perjalanan acara perlu dijaga supaya tidak hambar dan membosankan penonton,” jelas pengacara program realiti, Vokal Mania itu ketika ditemui pada majlis sidang media virtual malam kemuncak ABPBH 33 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

AC berkata, dia bersyukur pengalaman banyak membantunya membuat persediaan dalam menghadapi situasi tanpa penonton.

“Sebagai pengacara dan penyanyi, apabila naik ke pentas dan sebaik lampu dinyalakan, saya tak nampak penonton di hadapan. Cuma, kita dapat dengar sorakan yang bergema. Mungkin situasi agak berbeza kali ini, tetapi kenalah lebih kreatif dan bijak berimaginasi.

“Walaupun tiada penonton di depan mata, tetapi kita tahu, mereka tetap menyaksikan ABPBH 33 di rumah atau di mana-mana sahaja. Apa yang penting, kena hiburkan mereka, walau di mana berada. Situasi seperti ini saya anggap sebagai hikmah kerana apabila tiada penonton, artis akan bekerja lebih keras dalam membuat persembahan. Peluang untuk pemenang berucap lebih lama pun cerah,” katanya yang membolosi senarai top 20 menerusi kategori Pengacara TV Popular dan Artis Versatil Popular.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat