KUALA LUMPUR, – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menerima sumbangan berjumlah RM37,910 daripada EXIM Bank Malaysia Berhad (EXIM Bank) bagi tujuan menaik taraf kemudahan fasiliti di 10 Pusat Pemerkasaan Pendidikan & Komuniti (PREPKOM) di bawah seliaan YWP.
Majlis penyerahan sumbangan telah diadakan di PREPKOM PPR Kg. Limau, Blok 94, Jalan Kampung Pasir, Kuala Lumpur, dari jam 3.00 petang hingga 4.30 petang.
Sumbangan ini digunakan bagi penyediaan papan putih, projektor, skrin projektor dan pembesar suara mudah alih yang akan memberi manfaat kepada pengguna di semua PREPKOM terlibat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, YBrs. Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed, inisiatif ini amat membantu dalam memperkukuh peranan PREPKOM sebagai pusat komuniti setempat yang memberi tumpuan kepada pembelajaran santai, selesa dan inklusif.
Setakat ini, terdapat 10 lokasi PREPKOM di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar Kuala Lumpur, meliputi Parlimen Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Setiawangsa, Cheras dan Wangsa Maju.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk kelas tuisyen SPM, kelas asas 3M (Membaca, Menulis & Mengira), kelas mengaji serta pelbagai aktiviti komuniti yang memberi peluang pembelajaran dalam suasana ceria.
YWP turut menzahirkan penghargaan kepada EXIM Bank atas sumbangan dan sokongan berterusan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).



