KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan kepemimpinan parti supaya tidak terus menekan beliau dan beberapa pemimpin dirujuk ke Lembaga Disiplin.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu juga menolak dakwaan terdapat campur tangan pihak luar dalam tindakan mereka, sebaliknya ia diambil adalah atas dasar sayangkan parti.
“Kita tahu siapa sebenarnya yang rapat dan berbincang dengan pihak sebelah sana (parti lawan) tapi kerana disiplinnya kami, kami tak nak sebut.
“Tapi, janganlah tolak kuat sangat. Takut nanti ada reaksi,” dakwa beliau ketika ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding Lembaga Disiplin di ibu pejabat Bersatu lapor BH di Petaling Jaya pada Rabu.
Wan Saiful ialah antara enam pemimpin Bersatu yang dipanggil oleh Lembaga Disiplin, hari ini, untuk disiasat atas beberapa dakwaan, termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pemimpin lain yang dipanggil hari ini ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan empat lagi Ketua Bahagian, iaitu Muhammad Fadhli Ismail (Ipoh Timor), Mohd Isa Saidi (Ampang), Mohd Faisal Asmar (Pengerang) dan Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya).
Bagaimanapun, prosiding membabitkan Wan Ahmad Fayhsal ditangguhkan selepas beliau memohon supaya komposisi keanggotaan Lembaga Disiplin ditukar kerana terdapat sebahagian daripada anggotanya didakwa mempunyai konflik kepentingan.
Mengulas lanjut, Wan Saiful memaklumkan, beliau dipanggil Lembaga Disiplin atas dakwaan berkaitan SD dan kritikan ke atas Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Katanya, setiap pemimpin yang dipanggil disebabkan aduan oleh individu berbeza, namun berkaitan isu yang sama.
“Agak susah sikit apabila mengkritik seseorang individu itu dianggap mengkritik parti secara keseluruhan, seolah-olah kami ini bukan parti.
“Orang lain kritik kita boleh, tapi kita kritik seorang “anak emas” ini, tidak boleh,” katanya.
Wan Saiful berkata, dalam prosiding berkenaan, beliau dan empat Ketua Bahagian lain menyampaikan pandangan dan input yang perlu, justeru terserah kepada Lembaga Disiplin untuk memutuskan tindakan selanjutnya.
“Kita mengikut proses dalaman parti, berbeza dengan sikap puak lain yang menggunakan media sosial, “Black Ops” untuk menyebarkan pandangan dan tuduhan mereka.
“Kita perlu tunggu keputusan yang dibuat. Harapan saya ada perbincangan lanjut dengan Lembaga Disiplin kerana dalam sesi ini, kita tidak dapat sampaikan semua maklumat dan mereka pun tidak bertanya terlalu terperinci,” katanya menurut laporan itu.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan campur tangan pihak luar, Wan Saiful, berkata beliau pernah mendedahkan mengenai tawaran yang diterimanya untuk berpaling daripada parti di Dewan Rakyat, sehingga dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Katanya, selepas beliau mengemukakan pelbagai bukti, termasuk rakaman, gambar dan nombor telefon pihak yang terbabit, terbukti tindakannya itu bukan kesalahan mengelirukan Dewan.
“(Jika ada tawaran) lagi baik saya ambil tahun lalu, ada juga tawaran yang betul. Perkara yang berlaku sekarang sebab kita semua sayangkan parti,” katanya.



