Keputusan DUN Mahkota bukti rakyat terima model kerajaan perpaduan – Asyraf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kemenangan unggul di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak harus menjadikan Umno angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam merumuskan, kemenangan di DUN Mahkota juga memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan malam tadi, Umno mengucapkan penghargaan kepada pengundi DUN Mahkota atas kepercayaan yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi tersebut dengan majoriti yang amat besar dalam PRK baru berlalu.

“Umno merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan Malaysia termasuk rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional, Friends of BN dan Pakatan Harapan yang bekerja kuat sebagai satu pasukan hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mahkota.

“Mesyuarat menegaskan bahawa kemenangan ini tidak harus menjadikan Umno angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah,” katanya.

Menurut Asyraf lagi, mesyuarat bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja bersama di kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen Umno bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Justeru katanya, ahli Umno di semua peringkat diminta untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum sebagaimana tradisi Umno sejak dahulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh yang mendatang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat