Johor tak mundur jika kekalkan cuti Jumaat, MP Pasir Gudang tak setuju
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim akui tidak bersetuju dengan perintah yang dibuat oleh raja pemerintah negeri Johor yang ingin menukar hari Jumaat menjadi hari bekerja dengan menggantikan hari Ahad seperti yang dikehendaki penjajah Inggeris selama ini sebagai hari cuti.
Asas kepada penolakan itu dakwa Hassan ia seolah-olah melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor itu sendiri.
“Cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu di Johor bukan sekadar cuti biasa. Ia ada makna dari segi sejarah dan budaya Johor.
“Johor adalah sebuah negeri Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu dari kumpulan Negeri-Negeri Melayu tidak bersekutu.Sama seperti negeri-negeri Kelantan, Trengganu dan Kedah. Di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu ini, cuti hujung minggu ialah pada hari Jumaat dan Sabtu.
“Negeri-negeri Melayu tidak bersekutu ini adalah negeri yang paling kurang pengaruh jajahan Inggeris yang mengenakan pengaruh budaya ke atas tanah jajahannya seperti negeri-negeri Selat: Melaka dan Pulau Pinang serta negeri-negeri Melayu bersekutu seperti Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan yang kesemua negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini dipaksa cuti ikut kehendak penjajah Inggeris iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.
“Jadi perubahan yang akan berlaku di Johor ini dalam soal hari cuti hujung minggu ini mempunyai makna yang tersendiri iaitu melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor itu sendiri,” jelas Hassan dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu perubahan untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari bekerja dan hari Ahad sebagai hari cuti di Johor pernah berlaku beberapa tahun yang lalu tetapi perubahan itu tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di Johor tidak menyokongnnya.
“Johor dirahmati Allah dengan segala kemajuaan duniawi dari segi kebendaan dan material berbanding dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia walaupun cuti hujung minggunya selama ini adalah pada hari Jumaat dan Sabtu.
“Hari Jumaat adalah hari yang mulia dalam budaya Islam.Di Johor adalah antara negeri yang paling banyak mesjid.Hari Jummat punya pengertian yang besar bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.
“Tidak akan jadi Johor mundur jika dikekalkan Jumaat adalah hari cuti bagi Johor di mana memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di Johor.Rakyat Johor yang bukan Islam menerima hakikat budaya dan sejarah politik Johor mengapa hari Jumaat adalah hari cuti di Johor.
“Jadi pada pandangan saya, walaupun sebagai rakyat biasa, sebagai seorang ahli parlimen biasa dari negeri Johor saya tidak boleh berbuat apa-apa.Tetapi saya masih ada satu hak untuk bersuara.Hak itu tidak boleh ditekan dan dirampas dari saya.
“Dengan rendah hati saya selaku anak jati Johor seorang anak Melayu berbudaya Melayu dan beragama Islam yang menghormati sejarah dan budaya Johor maka izinkan saya menzahirkan rasa tidak bersetuju saya dengan perintah yang dibuat oleh raja pemerintah negeri Johor ini yang ingin menukar hari Jumaat menjadi hari bekerja dengan menggantikan hari Ahad seperti yang dikehendaki penjajah Inggeris selama ini sebagai hari cuti,” tegas Hassan.
7 Oktober lalu, pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.