KUALA LUMPUR – Perubahan landskap politik negara semakin menarik apabila UMNO mengundang PAS menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, tetapi tidak menyediakan tempat kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan (PH).
PH masih menaruh harapan terhadap hubungannya dengan Barisan Nasional (BN). Beberapa pemimpinnya berulang kali menegaskan hubungan kedua-dua gabungan masih baik dan tidak menolak kemungkinan bekerjasama lagi pada masa hadapan.
Namun, kenyataan terbaharu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa PH tidak dijemput ke PAU minggu ini tentunya mengguris hati rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Disangka panas sampai ke petang, rupanya ribut melanda di tengah hari.
Apakah PH tidak dijemput kerana UMNO juga tidak diundang menghadiri Kongres Nasional PKR yang lalu, atau hubungan kedua-duanya sebenarnya sudah retak menanti belah?
Lebih menarik, tatkala PH terpaksa memerhatikan dari luar, UMNO membuka pintu Dewan Merdeka kepada PAS.
Alasan Ahmad Zahid mudah. PAS mengundang UMNO menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kota Bharu, maka UMNO membalas jemputan tersebut.
“Ada timbal balik. Mereka jemput kita, kita jemput mereka,” katanya.
Namun, timbal balik itu tidak sepenuhnya seimbang.
PAS bukan sekadar mengundang UMNO sebagai sebuah parti. Ahmad Zahid sendiri adalah antara empat pemimpin UMNO yang menerima jemputan rasmi.
Bagaimanapun, pada hari perasmian muktamar, Ahmad Zahid tidak kelihatan. Beliau sebaliknya diwakili Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Kini tiba giliran PAS menerima jemputan menghadiri perhimpunan terbesar UMNO.
Persoalannya, adakah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan hadir sendiri ke Dewan Merdeka atau sekadar menghantar wakil?
Abdul Hadi di sebalik imej Mullah adalah ahli politik yang penuh muslihat. Beliau boleh meletak dirinya pada titik terendah untuk mencapai matlamat.
Dalam keadaan lain beliau adalah Mullah yang tidak boleh dicabar jika mahu membuat keputusan drastik.
Jika Abdul Hadi hadir, beliau akan melakukan sesuatu yang Ahmad Zahid sendiri tidak bersedia lakukan di Kota Bharu.
Jika hadir, ini akan menjadi kali kedua Abdul Hadi dilihat sanggup menyusur akar demi mengharapkan kerjasama dengan UMNO.
Kali pertama berlaku ketika Pilihan Raya Negeri Johor apabila BN mengumumkan akan bertanding di semua kerusi. Meskipun keputusan itu tidak memberikan ruang kepada PAS, Abdul Hadi tetap mengarahkan penyokong parti tersebut memberikan sokongan kepada BN.
Sehingga kini, Ahmad Zahid dan Abdul Hadi belum muncul bersama-sama bagi meyakinkan masyarakat bahawa hubungan kedua-dua parti benar-benar sedang dipulihkan.
Ahmad Zahid masih bermain dengan kata-kata dan tindakannya. Sama ada telunjuknya lurus atau kelingkingnya berkait, hanya masa akan menentukan.
Dalam satu taklimat mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kepada Ahli-ahli Parlimen BN dan Perikatan Nasional (PN) beberapa minggu lalu, Ahmad Zahid dikatakan memberikan isyarat yang kurang mesra terhadap PAS.
Beliau dikatakan beberapa kali menekankan bahawa sebarang kerjasama mestilah berasaskan kejujuran.
Cara peringatan itu disampaikan didakwa menimbulkan rasa kecil hati dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen PAS yang hadir.
Jika Abdul Hadi hadir ke PAU nanti, beliau perlu bersedia sekiranya sindiran atau sinisan yang sama kembali kedengaran daripada Ahmad Zahid.
Atau mungkinkah kehadirannya akan disambut sebagai permulaan kepada hubungan baharu antara UMNO dengan PAS?
Kehadiran Abdul Hadi juga akan memberikan keuntungan politik yang besar kepada UMNO.
Ahmad Zahid boleh menunjukkan kepada perwakilan bahawa PAS sanggup datang mengetuk pintu Dewan Merdeka, walaupun beliau sendiri tidak pergi menemui Abdul Hadi di Kota Bharu.
Adakah kehadiran Abdul Hadi akan membuka jalan kepada kerjasama sebenar atau sekadar menyediakan gambar yang cantik untuk pentas politik UMNO?
Ahmad Zahid sukar diduga. Abdul Hadi juga bukan mudah dibaca.



