Umno tak sekeji Bersatu tikam Mahathir – Khaled

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Sekeji mana pun Umno pada kaca mata Tun Dr Mahathir Mohamad namunUmno tidak seperti Bersatu yang menikamnya dari belakang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin malah mengatakan Umno telah meletakkan Mahathir sebagai Perdana Menteri paling berjaya dan lama serta memuliakan beliau setelah persaraannya.

“Sekeji mana pun Umno pada kaca mata TUN, Umno sebenarnya tidak pernah melakukan apa yang Bersatu lakukan pada beliau.

“Umno yang meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri paling berjaya dan lama serta memuliakan beliau setelah persaraannya.

“Umno tidak pernah menikam beliau dari belakang. Tidak pernah,” tegas Khaled dalam kenyataanya pada Khamis.

Menurut Khaled, kenyataan terbaru Mahathir tentang Umno menunjukkan bahawa beliau terus dihantui Umno pada setiap saat dan ketika.

Jelas bahawa Mahathir sebenarnya tidak pernah ‘move on’ daripada Umno, kata Khaled.

“Tindakan melabelkan Umno dengan pelbagai gelaran dan penghinaan sebenarnya dilakukan dengan satu motif yang jelas. Iaitu menutup kegagalan ketara beliau dalam mewujudkan alternatif kepada Umno.

“Eksperimen Mahathir dengan menubuhkan Bersatu sebagai parti yang lebih baik, lebih bersih dan lebih Melayu dari Umno nyata gagal.

“Mereka yang beliau percayai dan yakini sebagai tidak korup, berjiwa murni dan bersih, nyata lebih ghairah dengan kuasa dan kedudukan sehingga menolak beliau sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu. Kegagalan tersebut sudah pastilah sangat memalukan,” bidas beliau.

Tambah Khaled, selepas tersingkir sebagai Perdana Menteri dan dibelakangkan oleh parti yang diasaskannya sendiri, Mahathir menubuhkan pula Pejuang.

“Seperti biasa, mantera yang beliau ratibkan, Pejuang adalah lebih baik, lebih bersih dan lebih berkemampuan berbanding Umno dan Bersatu.

“Namun, parti yang diasaskannya itu tersungkur teruk sekali lagi. Dalam PRN Johor sahaja, Pejuang menjadi parti yang bukan sahaja kalah dalam semua kerusi yang dipertandingkan. Tetapi menjadi parti yang kehilangan semua deposit. Sekali lagi, Mahathir malu besar.

“Kemudian, menyedari Pejuang tidak mempunyai masa depan sendiri dan ditolak secara besar-besaran, maka Mahathir gagaskan pula Gerakan Tanah Air (GTA). Mahathir bergerak ke segenap tanah air mengutip mereka yang sebelum ini tidak pun beliau pandang dengan sebelah mata.

“Barangkali, setelah menyedari bahawa strategi tersebut juga belum menampakkan sebarang petunjuk yang memberangsangkan, maka Mahathir kembali kepada strategi asalnya – iaitu menghentam dan menghina Umno,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Khaled menambah, Mahathir adalah negarawan yang bukanlah calang-calang. Beliau adalah tokoh hebat. Namun jika tokoh seperti beliau gagal menjadikan Bersatu, Pejuang dan terkini GTA berjaya, maka beliau harus menerima realiti bahawa politik zaman dan cara beliau telah lama berakhir.

Kata Khaled jika dibandingkan dengan seteru utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR jauh lebih berjaya, bertahan dan lebih lestari. Sudah berpuluh-puluh tahun mereka kekal dalam persada politik nasional.

“Yang boleh saya simpulkan, Mahathir terus menerus mengambil tahu dan kisah akan Umno kerana beliau tidak mempunyai pilihan.

“Untuk mengkritik dan mengulas tentang pergerakan politik yang beliau asaskan seperti Bersatu, Mahathir percaya mereka tidak mempunyai masa depan yang jelas. Jadi, mengapa harus membuang masa mengulas perkara yang tidak penting,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Khaled menyatakan Mahathir sangat sedar aspirasi Pejuang telah berkubur sebelum ajal kerana ia tidak menarik minat orang Melayu apalagi sokongan.

“Realitinya, orang Melayu masih memilih Umno. Parti ini mempunyai tarikan tersendiri kepada orang Melayu. Ia bukan tentang personaliti atau ketokohan tertentu. Malah, orang Umno sendiri sebenarnya lebih kritikal dan lantang terhadap parti ini berbanding mereka di luar, termasuklah berbanding Mahathir.

“Tarikan yang Umno tawarkan adalah jelas, iaitu nasionalisme Melayu dan modernisme Malaysia. Sesuatu yang mengikat orang Melayu dengan identiti dan kelangsungan mereka dari dahulu, kini dan selamanya.

“Pemimpin Umno bukan maksum. Kami banyak kelemahan. Saya sedar dan akuinya. Kami tidak akan menafikan hakikat atau bersikap apologetik. Ada yang sohor, ada yang khilaf. Namun masa beredar, zaman berubah dan pemimpin juga begitu,” kata Khaled lagi.

Jelas beliau Umno tetap lestari kerana orang Melayu menghargai bahawa adalah tidak adil disebabkan beberapa orang pemimpin parti terpalit kontroversi, maka segala-galanya tentang Umno itu korup dan keji.

“Tun, kami memilih untuk bersetia dengan parti dan perjuangan nasionalisme Melayu dan modernisme Malaysia. Kami sedar, hujan panas permainan hari. Susah senang permainan hidup. Apatah lagi parti besar seperti Umno. Pasti ada pancaroba dan turun naiknya.

“Umno telah ‘moved on’. Dari masa silam, dari Tun dan dari kegagalan kami sebelum ini.

“Kami sedang mengorak langkah menjadi ketumbukan yang bersedia meneroka potensi untuk kembali menjadi Kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15).

“Sekiranya Tun memilih untuk terus mengambil tahu dan kisah tentang Umno, kami tidak boleh menghalang ingatan dan sentimentalisme UMNO yang masih menebal dalam hati Tun,” ujar Khaled.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat