Pesalah jenayah kekal status wakil rakyat?

- Advertisement -

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meneliti semula Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan apabila wujud kelompongan dan kesamaran membabitkan seseorang pesalah jenayah dalam kalangan ahli Parlimen yang dijatuhi hukuman penjara dan denda tetapi masih boleh mengekalkan statusnya sebagai wakil rakyat.

Disebabkan ketidakjelasan tersebut bermakna selagi Lembaga Pengampunan tidak memutuskan petisyen berkenaan, selama itulah status ahli Parlimen yang dijatuhi hukuman masih boleh kekal walaupun sehingga ke penggal Parlimen berakhir.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar undang-undang dan perlembagaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Perkara 48(3) menjelaskan Yang di-Pertuan Agong berkuasa membatalkan sabitan kesalahan jenayah mana-mana ahli Parlimen setelah menerima petisyen pengampunan dengan syarat dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan oleh mahkamah.

Menurut beliau, undang-undang di bawah Perkara 48 (4) dibuat selepas Suruhanjaya Reid 1957 dan sejak itu dalam tempoh 65 tahun tidak pernah dikaji sekali gus menyebabkan timbul masalah interpretasi dan pemahaman berhubung peruntukannya.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, peruntukan undang-undang tersebut turut menimbulkan pelbagai persoalan kerana mengandungi bibit-bibit kesamaran iaitu pertama tidak disebut mahkamah yang mana, sama ada melibatkan Mahkamah Tinggi, Rayuan ataupun Persekutuan sebelum membolehkan petisyen dikemukakan.

Petisyen
“Anggapan biasa ialah petisyen pengampunan boleh dikemukakan apabila semua sesi pengadilan telah selesai. Selain itu, berlaku juga samar-samar apabila petisyen pengampunan dikemukakan oleh banduan dalam tempoh dua minggu itu, adakah boleh baginya hadir di Parlimen untuk bersesi?

“Apa erti statusnya sebagai ahli Parlimen, tiada luput jika petisyen ampun itu dibuat dalam tempoh yang diperuntukkan? Jika statusnya sebagai ahli Parlimen kekal dengan kuat kuasa petisyen itu dan apa ertinya hukuman pemenjaraan?

“Bolehkah ahli Parlimen itu balik ke kawasan Dewan Rakyatnya dan menikmati semua kemudahan legislatif lain-lain? Pemahaman amnya ialah hanya status ahli Parlimen yang kekal dan dinyatakan. Yang lain dalam keadaan tidak dihuraikan,” ulas Rais.

Isnin lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan, status Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ahli Parlimen Pekan masih kekal selepas beliau mengemukakan petisyen pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan sekali gus bermakna kedudukan sebagai wakil rakyat tidak berubah dan hanya dimuktamadkan apabila petisyen ditolak.

Bekas Perdana Menteri itu menerusi peguamnya Tetuan Shafee & Co dilaporkan mengemukakan petisyen kepada Lembaga Pengampunan terhadap sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Dihukum
Dalam pada itu, menurut Rais, Perkara 48 (4) (c) menetapkan status seseorang ahli Parlimen yang dihukum penjara atau denda masih kekal sekiranya mengemukakan petisyen pengampunan dalam tempoh 14 hari sehingga permohonan itu ditolak.

“Soal yang timbul ialah bolehkah status kekal jawatan itu diberi pula kepada pihak-pihak lain? Tidakkah bertembung dengan peruntukan kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan sendiri (Hak Kesamarataan)?

“Memandangkan undang-undang itu dibuat selepas Suruhanjaya Reid 1957 dan tidak pernah dikaji semula dalam tempoh 65 tahun, situasi sedemikian sarat mengandungi masalah interpretasi dan pemahaman. Selain bahasanya berbelit-belit, kesan pemenjaraan dan denda menjadi persoalan kerana tiada sempadan jelas antara kuat kuasa undang-undang dengan budi bicara pengampunan diraja,” katanya.

Rais juga mencadangkan, isu itu dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan selaras Perkara 130 yang memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merujuk kepada mahkamah tertinggi negara sebarang hal atau kesan mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, hal ini kerana selagi mesyuarat pengampunan tidak memutuskan petisyen berkenaan, selama itulah tempoh sah petisyen itu memberi manfaat kepada ahli Parlimen berkenaan di mana statusnya kekal sehingga penggal hayat Parlimen.

“Adakah ahli Parlimen berkenaan boleh hadir ke sidang Parlimen dan beroleh keistimewaan sebagai ahli Dewan Rakyat mahupun Ahli Dewan Negara? Perkara ini belum lagi berada di tahap muktamad. Maka saya berpandangan Perkara 48 perlu dipinda dan diperjelaskan betul dan persis. Penghakiman dalam hal ini juga belum pernah diperbuat,” katanya.

Keistimewaan
Lantaran itu katanya, persoalan sama ada Najib boleh hadir ke sidang Dewan Rakyat dan menikmati keistimewaan sebagai ahli Parlimen belum terjawab oleh mana-mana pihak dan mahkamah pula tidak memberikan kata putus berkenaan perkara tersebut dan seharusnya penghakiman boleh menggunakan penentuan spesifik dalam Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Kata beliau, perkara itu hendaklah dijelaskan oleh badan kehakiman bagi mengelakkan kekeliruan berbangkit ekoran Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang di samping Peguam Negara juga wajar menilai perkara sama demi kepentingan pentadbiran keadilan Malaysia.

“Berdasarkan Perkara 48 (1)(e), Najib sepatutnya hilang kelayakan ahli Parlimen setelah disabitkan kesalahan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000. Namun dengan adanya peruntukan Perkara 48(3) dan Perkara 48(4)(c) status beliau sebagai Ahli Parlimen Pekan ditakrif kekal sehingga proses pengampunannya dibereskan.

“Perkataan dibereskan dalam Perkara 48(4)(c) itu juga mungkin dipertikaikan lantaran sifat takrif amnya,” jelasnya.

Artikel asal UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,499FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat