Dilantik Ahli Lembaga Pengarah FINAS, Zed janji kerja keras

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi menganggap pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mulai 15 Ogos lalu sebagai peluang membela nasib penggiat seni tempatan.

Zed atau nama sebenar, Rozaidi Jamil mahu memartabatkan industri kreatif dan menyelesaikan hal berbangkit demi kebaikan penggiat seni.

“Alhamdulillah… Syukur. Saya tahu dengan pelantikan ini, bukan semua orang suka.

“Namun, dengan dugaan dan cabaran ini, saya lebih kuat berjuang demi membela nasib penggiat dan anak seni secara konsisten.

“Terima kasih Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa kerana memberi kepercayaan dan amanah ini kepada saya.

“Terima kasih juga kepada Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang melihat kelebihan diri saya untuk membantu memartabatkan lagi industri kreatif tanah air,” katanya kepada BH Online.

Zed berjanji membantu FINAS memantapkan pelaksanaan dasar, prosedur dan pelbagai urusan lain di peringkat dalaman demi manfaat penggerak industri kreatif.

 

Zed berjanji bantu FINAS memantapkan pelaksanaan dasar, prosedur dan pelbagai urusan lain di peringkat dalaman demi manfaat penggerak industri kreatif.
Zed berjanji bantu FINAS memantapkan pelaksanaan dasar, prosedur dan pelbagai urusan lain di peringkat dalaman demi manfaat penggerak industri kreatif.

 

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada SENIMAN yang sentiasa menjadi tulang belakang selain percaya kredibilitinya sebagai presiden.

“Terima kasih buat semua sahabat, persatuan seni dan media yang bertalu-talu menghantar mesej.

“Mohon maaf jika tidak dapat membalas sebab terlalu banyak.

“Saya cuba merahsiakan pelantikan ini, namun, apakan daya, prosedur tetap prosedur,” katanya.

Zed berharap dapat berjalan seiring dengan penggiat industri kreatif tempatan untuk meningkatkan pencapaian sektor kreatif ke peringkat lebih tinggi.

“Saya percaya dengan amanah yang berat ini kita sama-sama dapat memberi tenaga agar kebajikan penggiat seni tempatan terbela,” katanya.

Zed mempertahankan jawatan Presiden SENIMAN bagi penggal 2019 sehingga 2022 selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung SENIMAN Ke-18.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat