Najib mandi air sejuk, sel cuma ada kipas dan makanan seperti banduan lain- laporan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Susulan daripada rawatan yang diperlukan Najib pada 4 September lalu, Ahli Parlimen Pekan itu dikatakan dipindahkan dari sel pengasingan ke wad rawatan di dalam Penjara Kajang.

Bagaimanapun, wad tempat menempatkan Najib turut diasingkan daripada banduan lain atas faktor keselamatannya.

“Pemindahan dari sel ke wad rawatan dilakukan berdasarkan faktor kesihatan seseorang banduan yang mana ia bergantung kepada laporan pegawai perubatan,” kata sumber seperti dilapor Utusan Malaysia pada Khamis.

Untuk rekod, anak Najib iaitu Nooryana Najwa menerusi hantaran InstaStory kelmarin memaklumkan bapanya menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami sakit perut.

Menerusi hantaran itu, Nooryana Najwa memberitahu bapanya itu sememangnya sering mengalami masalah perut yang berulang.

Sumber itu kemudian menambah, makanan harian yang disajikan kepada Najib mengikut skala diet yang sama seperti banduan lain tetapi kebiasaannya lima kali sehari termasuk sarapan, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan makan lewat malam.

“Namun begitu, jika diet yang berlainan diperlukan oleh Najib ia perlu dengan cadangan (rekomendasi) pegawai perubatan atas alasan kesihatan bagi seseorang individu itu,” katanya.

Sementara itu, satu sumber rapat dengan Najib memaklumkan, selepas kira-kira dua minggu menjalani hukuman, Najib didakwa mengalami ruam di leher akibat alahan kerana suhu sel yang didakwa agak panas.

“Najib tidak mendapat keistimewaan sebagai bekas Perdana Menteri walaupun diletakkan dalam satu sel berasingan dengan beliau juga hanya mandi air sejuk dan sel tersebut hanya dipasang kipas.

“Beliau ada alahan kulit, kelmarin di mahkamah nampak bahagian leher Najib kemerah-merahan akibat alahan kulit selain badan susut sedikit.

“Dalam sel Najib suis pun tiada. Najib ada alahan, kalau tidur boleh berhenti bernafas, jadi kena pakai satu mesin. Malah mesin itu pun kena tarik wayar,” kata sumber itu.

Selain itu, jelas sumber sama, bekas Perdana Menteri tidak mempunyai aset untuk membaca surat khabar apa lagi memiliki telefon bimbit kecuali buku.

Beliau difahamkan dalam soal makan dan minum, Najib juga diberi makanan seperti disediakan kepada penghuni penjara lain dan pihak penjara menghalang makanan dibekalkan oleh ahli keluarganya dibawa masuk ke dalam penjara.

“Najib juga dikatakan tidak mempunyai doktor khas, sebaliknya cuma bergantung kepada doktor sedia ada yang ditugaskan menjaga semua banduan di Penjara Kajang,” kata sumber.

“Saya cakap dengan mereka, kenapa pemimpin politik lain yang dipenjara dapat semua kemudahan tapi tidak Najib? (Pemimpin pembangkang) lain yang dulu dipenjara, dulu Datuk Seri Najib sendiri yang telefon penjara, “apa juga yang dia minta, berikan kemudahan terbaik,” kata sumber.

Mengulas lanjut mengenai rutin harian, Najib masih boleh melakukan senaman dan rekreasi fizikal harian dengan syarat keselamatan dan tatatertib dikekalkan mengikut prosedur penjara.

Kata sumber, Najib kini dilihat masih memenuhi jadual hariannya dengan berulang alik dari penjara ke mahkamah bagi perbicaraan kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Ditanya persoalan mengapa Najib tidak digari ketika dibawa menghadiri perbicaraan 1MDB, sumber berkata, keperluan berkenaan mengikut atas budi bicara penjara berdasarkan alasan yang munasabah.

“Sebagai contoh, bagi orang dikenali seperti Najib, sudah pasti mereka bukan seseorang yang melakukan suatu keganasan jadi mengapa perlu menggari mereka,” katanya.

Selain itu, kata sumber, Najib boleh menggunakan buku dan bahan bertulis yang diterima atau yang diperoleh melalui pegawai penjara dengan kebenaran dan kelulusan pegawai yang menjaga selaras dengan tatatertib yang sesuai bagi penjara itu.

“Rutin yang dilakukan oleh Najib ini sama seperti banduan lain cuma yang membezakan adalah pengasingan antara Najib dan banduan lain ketika melakukan aktiviti berkenaan,” jelas sumber.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang ditempatkan di sel pengasingan bagi memastikan keselamatan bekas Perdana Menteri itu.

Walaupun Najib berstatus orang kenamaan (VIP) tetapi beliau tidak mendapat layanan istimewa sebaliknya Ahli Parlimen Pekan itu seperti banduan lain yang tertakluk di bawah peraturan 8 Akta Penjara 2000.

“Beliau (Najib) ditempatkan di sel pengasingan bagi mengekalkan keselamatan di penjara dan diri Najib mengikut peraturan 8 dalam peraturan berkenaan.

“Sebagai seorang bekas pemimpin besar negara, sudah pasti kawalan akan diperketatkan bagi memastikan beliau berada dalam jagaan selamat di bawah Jabatan Penjara,” kata sumber mengenai hukuman penjara Najib.

Kata sumber itu, sel pengasingan tersebut dilengkapi dengan kemudahan sama rata seperti sel khas membabitkan banduan lain yang turut memerlukan jagaan keselamatan tinggi.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. beliau dihantar ke Penjara Kajang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat