UMNO Serah Kebijaksanaan Ismail Sabri Tadbir Negara Termasuk Lantik Muhyiddin Sebagai Pengerusi MPN – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri untuk membuat keputusan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara,” kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Maka katanya adalah menjadi tanggungjawab Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan kerajaan terdahulu.

Zahid memberitahu bahawa beliau menerima banyak pertanyaan, bahkan sempat membaca pelbagai komen bertanyakan mengenai apakah pendirian UMNO dalam pembentukan Jemaah Menteri dan perlantikan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf Menteri.

“Parti telah membuat pendirian menyokong pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Ini bermakna, parti menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.

“Pendirian parti ini juga boleh ditakwilkan bahawa Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan hari ini mempunyai kuasa-kuasa Perlembagaan dan sehubungan itu, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan Kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan kerajaan terdahulu,” tegas Zahid.

Pun begitu kata beliau, UMNO konsisten dalam pendiriannya yakni parti telah pun memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dan bagi pihak parti, beliau akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara.

Ujarnya, inilah semangat dan prinsip demokrasi yang wajar kita suburkan.

” Kerajaan ada peranan dan tanggungjawabnya dalam memenuhi keperluan rakyat. Parti pula akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat.

“Selaku ketua parti, saya akan terus berusaha memperkasakan UMNO selaras dengan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi. Fokus kita tidak pernah lari daripada untuk terus berusaha memantapkan perjalanan parti khususnya dalam persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Dua mandat besar akar umbi yang diamanahkan kepada saya dan barisan pengemudi parti melalui ketetapan PAU dan MKT termasuklah kerajaan hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat. Justeru sebagaimana diputuskan dalam MKT lepas dan berpedomankan titah saranan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik COVID-19 mulai berakhir dan setelah imuniti kelompok (herd immunity) dicapai, maka Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlulah diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperolehi untuk membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat.

“Keduanya, kehendak akar umbi yang menghendaki agar kerusi-kerusi tradisi UMNO dan kerusi-kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi. Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Bersatu hanya setelah parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang,” katanya.

Susulan itu Zahid menegaskan, untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, kerajaan dan parti akan saling lengkap-melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.

Kata beliau, kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat yang amat meruncing ketika ini.

“Manakala UMNO sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti untuk menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat.

“Terlalu banyak hikmah Allah takdirkan UMNO hilang kuasa pada PRU lalu untuk kita muhasabahkan. Salah satunya ialah nilai kesetiaan kepada parti yang terlalu besar harganya yang menjadi penentu dan fitrah kelangsungan sebuah perjuangan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat