Covid-19: Dr Hisham Tegur Kealpaan Petugas Barisan Depan, Masyarakat

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Sikap masyarakat dan petugas barisan hadapan yang dilihat semakin alpa terhadap kes Covid-19 dalam komuniti ditegur Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, nasihat yang selalu diberikan oleh dirinya mula diambil ringan sehingga melibatkan penularan pendemik itu dalam kalangan kakitangan kesihatan di Kluster Sungai di Kedah.

“Berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh KKM, terdapat juga peningkatan pergerakan masyarakat di dalam Malaysia.

“Masyarakat kemungkinan kian alpa dan tidak mengendahkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Nasihat-nasihat yang telah diberikan mulai diambil ringan dan ini termasuklah juga oleh petugas barisan hadapan di kalangan petugas kesihatan dan juga lain-lain agensi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata, sikap tersebut telah menyumbang kepada peningkatan nilai kebolehjangkitan (R0) Covid-19.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa nilai R0 telah meningkat kepada 1.72 berbanding dua minggu lalu iaitu 0.72,” katanya.

Noor Hisham berkata, nilai R0 tersebut telah melebihi paras kritikal iaitu 1.6.

“Peningkatan ketara ini memberi gambaran situasi risiko berlakunya lebih banyak transmisi di dalam komuniti,” katanya.

Menurutnya, petugas barisan hadapan sememangnya mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti Covid-19 atau lain-lain penyakit berjangkit ketika di fasiliti kesihatan.

“Petugas kesihatan juga boleh mendapat jangkitan semasa berada di dalam komuniti iaitu sama seperti individu yang lain di dalam masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pematuhan seratus peratus terhadap garis panduan dan tatacara pengurusan semasa bertugas dan juga semasa tidak bertugas adalah amat penting.

“Ketidakpatuhan akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Mengambil contoh, katanya anggota kesihatan daripada Kluster Sungai didapati telah menjangkiti tujuh orang ahli keluarganya.

“Mengambil iktibar daripada kejadian ini, KKM menggesa semua petugas kesihatan, petugas barisan hadapan pelbagai agensi dan juga semua lapisan masyarakat untuk mengambil serius situasi Covid-19 di dalam negara.

“Ambillah langkah berjaga-jaga untuk menjaga diri kita dan keluarga kita pada setiap masa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat