Bersatu Bahagian Klang Dibubarkan, Ketua dan AJK Umum Keluar Parti

- Advertisement -

PELABUHAN KLANG – Kurang 24 jam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Selangor dibubarkan awal pagi tadi, kini giliran Bahagian Klang pula melakukan tindakan sama apabila hampir 3,000 ahlinya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Bekas ketuanya, Datuk Syed Abdillah Syed Abd Aziz berkata, tindakan itu diambil setelah mendapat persetujuan kesemua ahli jawatankuasa bahagian dan lima cawangan di bawahnya yang hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu.

“Kami seluruh barisan Bersatu Bahagian Klang yang diketuai oleh saya sendiri, Syed Abdillah Aziz, secara sebulat suara hilang segala kepercayaan terhadap kepimpinan peringkat penaja Bersatu kami dan membuat keputusan untuk membubarkan Bahagian Bersatu Klang dengan serta-merta.

“Dengan ini, kami secara rasminya meletakkan semua jawatan dalam parti dan mengisytiharkan diri kami keluar dari Bersatu berkuat kuasa secara serta-merta,” katanya pada sidang media di Hotel Crystal Crown, di sini, petang ini.

Menurut Syed Abdillah, Bahagian Bersatu Klang mempunyai 10 Cawangan dengan jumlah keahlian 2800 orang ahli, yang mana lima daripadanya adalah menyokong kepimpinan beliau, dua pihak lawan manakala tiga pula telah dibubarkan kerana didapati melakukan penipuan semasa pemilihan baru-baru ini.

“Pemilihan pucuk pimpinan Cawangan dan Bahagian telah dijalankan pada 23 Februari lalu. Jawatankuasa Pemilihan Parti Pusat telah memutuskan untuk menjalankan satu lagi pemilihan atas sebab-sebab tertentu dan tidak rasmi yang tidak diberitahu kepada calon khasnya pihak kami.

“Pemilihan kedua dilakukan pada 15 Mac lalu, ternyata pihak lawan tidak mempunyai cukup ahli yang hadir. Satu tindakan terdesak diambil di mana pengundi-pengundi hantu dibawa dan penipuan Kad Pengenalan telah dilakukan. Seramai tujuh orang ditangkap reman. Akibatnya tiga Cawangan telah dibubarkan,” katanya.

Keputusan untuk membubarkan Bahagian Klang mengambil kira perpecahan yang berlaku dalam Bersatu termasuk berita pemecatan dan pembubaran yang akan dilakukan terhadap ahli, calon dan Bahagian yang dikatakan Blackout atau menunjukkan tanda protes kerana tidak mengikut arus dan aspirasi pucuk pimpinan kini.

“Kalau enam pucuk pimpinan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad boleh dipecat atau istilah yang digunakan “terhenti serta-merta” apatah lagi nasib kami di peringkat Bahagian dan akar umbi.

“Kami yakin interpretasi Perlembagaan dipergunakan untuk memihak sebelah pihak sehinggakan pelucutan, pemecatan dan pembubaran dilakukan tanpa mengambil kira Perlembagaan parti yang sedia ada,” dakwanya.

Menurutnya, dengan keputusan mahkamah pada 7 Ogos lalu yang tidak membenarkan apa-apa tindakan mahkamah oleh mana-mana parti politik, pihaknya membuat kesimpulan bahawa tiada sebarang ruang akan diberikan terhadap apa juga bentuk pandangan berbeza dan seterusnya menidakkan amalan demokrasi dalam Bersatu.

“Mengikut Perlembagaan parti, apa juga bentuk perubahan dasar perlu dilakukan melalui AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) atau EGM (Mesyuarat Agung Tergempar) yang menjadi amalan kami bila pengubahsuaian Perlembagaan parti dilakukan dua tahun lalu.

“Hala tuju parti yang tidak menentu bila mana Bersatu dikeluarkan dari Pakatan Harapan (PH) dengan harapan satu bentuk perikatan baru Perikatan Nasional (PN) dilakukan dan sehingga kini masih tidak diluluskan dan tidak diterima jemaah perikatan yang lain,” katanya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat