UMNO Senafas Dengan Kesusahan Rakyat, Bukan Kuasa Dan Kedudukan Tak Biarkan Negara Terus Meleset

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tampil memberi pencerahan tentang pendirian dan hala tuju parti selepas memutuskan untuk menarik balik sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana kegagalan Perikatan Nasional (PN).

Jelas Mohamad, dalam keadaan negara yang sangat meleset, UMNO wajar tampil dengan sebuah pendirian.

Justeru tegasnya, membiarkan kemelesetan negara ini menerus, laksana UMNO merestuinya.

Mohamad berkata, UMNO mesti senafas dengan kesusahan rakyat, bukan kuasa dan kedudukan.

“Kepada semua ahli UMNO, walau dipelusuk desa dan perbatasan nan terpencil, atau di pulau paling jauh, mahupun di kota dan bandar seluruh negara, yakinlah, pendirian kepimpinan UMNO tidak akan tergelincir dari keutamaan rakyat, negara dan parti,” beritahu beliau dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.

Ujar beliau, UMNO tidak pernah diasaskan demi kepentingan lain kecuali memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, memuliakan Islam, memelihara kehormatan institusi raja dan membangunkan negara.

“Pendirian ini akan terus menjadi pendirian UMNO. Sebagai parti politik, kejelasan sebuah pendirian sangat penting. Tanpa pendirian, UMNO jadi hanya sebuah parti terdaftar, bukan sebuah perjuangan.

“Justeru dalam keadaan negara yang sangat meleset, UMNO wajar tampil dengan sebuah pendirian. Membiarkan kemelesetan negara ini menerus, laksana UMNO merestuinya.

“Pendirian UMNO mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat.

“Bila sistem kesihatan semakin parah, ekonomi merudum dan memburuk, kemiskinan meningkat, mereka yang membunuh diri semakin banyak, kelaparan telah menjadi nyata, bendera putih, hitam dan segala warna telah dikibarkan, demokrasi diselewengkan, malah institusi Raja di sanggah dengan tiada susila, UMNO tidak boleh menjadi sebahagian dari kemelesetan ini,” kata Mohamad.

Menurut beliau, fitrah UMNO adalah parti untuk orang kebanyakan serta biasa-biasa, maka untuk merekalah UMNO harus bersuara dan berjuang.

“(Keputusan MKT semalam) ia pasti selari dengan keputusan perwakilan perhimpunan agung.

“Tiada individu lebih besar dari UMNO. Tiada tokoh lebih penting dari parti dan rakyat. Tiada kuasa lebih besar dari kuasa rakyat. Tiada perjuangan lebih bererti dari perjuangan untuk rakyat yang marhain dan yang terjejas.

“InsyaAllah, UMNO telah ada sebuah pendirian dan jalan kehadapan. Semoga jalan dan pendirian yang direncanakan ini adalah sebaiknya jalan dan pendirian untuk rakyat, tanahair dan parti kita UMNO.

“Kepada ahli dan rakyat, UMNO sandarkan masa depannya,” ucap Mohamad.

Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi, memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan keputusan itu dipersetujui bersama dalam MKT selepas UMNO mendapati Muhyiddin gagal, terutama dalam mengurus ekonomi negara, pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat