MEDAC Akan Sedia Peruntukan RM20 Juta Bantu Koperasi Terjejas – Wan Junaidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memperuntukkan RM20 juta daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi membantu koperasi yang terjejas.

Menurut MEDAC, peruntukan akan diagihkan menerusi empat Program Pemulihan Koperasi iaitu Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR), Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dan Program Dagang Produk atau Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-DAPAT).

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata SKM menerusi program KPR akan menggalakkan lagi penubuhan koperasi baharu bagi membolehkan kumpulan sasaran iaitu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), individu terjejas dan hilang punca pendapatan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi.

“Dianggarkan, seramai 1,000 usahawan akan dibantu melalui penubuhan 50 koperasi menerusi peruntukan RM5 juta yang disediakan oleh kerajaan. Oleh itu, rakyat digalakkan untuk menyokong program JKPR dengan membeli barangan keperluan harian di kedai koperasi yang menawarkan harga yang lebih murah berbanding pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebanyak RM15,000 insentif jualan secara sekali beri diberikan kepada 200 koperasi yang terlibat secara langsung dalam sektor pemborongan dan peruncitan bagi mengurangkan harga barangan keperluan harian dengan peruntukan mencecah RM3 juta bagi memastikan aliran tunai koperasi yang konsisten.

Sementara itu, kesemua program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi itu akan berlangsung selama setahun, bermula Julai 2021 hingga Julai 2022 bagi memastikan momentum perniagaan koperasi kembali stabil.

Maklumat lanjut berkenaan inisiatif berkenaan boleh dilayari di portal rasmi SKM di www.skm.gov.my. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,577FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat