KUALA LUMPUR – Wanita Umno menuntut diberikan peluang untuk menerajui kementerian yang lebih kanan dalam kerajaan bukan hanya sekadar mengisi portfolio-portfolio tradisi seperti ada-ada sahaja.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menggesa, Wanita Umno diberikan kuota 30 peratus kerusi dan bukan lagi sekadar janji-janji.
“Sejak dari dahulu lagi, wanita merupakan tonggak penting dalam pembangunan negara. Sesiapa pun tidak boleh meremehkan peranan dan tugas wanita ini.
“Berdasarkan pengorbanan dan perjuangan selama ini, wanita perlu dilihat seiring dengan peredaran politik ketika ini. Kita tidak mahu wanita sering diberikan dengan portfolio-portfolio tradisi seperti ada-ada sahaja.
“Kita tidak mahu wanita sekadar memanaskan kerusi-kerusi di agensi dan GLC sahaja. Kita tidak mahu wanita sekadar dijanjikan dengan sejumlah bilangan kerusi, kita mahu wanita diberikan jawatan-jawatan penting di dalam agensi dan GLC.
“Sudah tiba masanya wanita diberikan peranan yang lebih besar. Kita mahu wanita diberikan peluang untuk menerajui kementerian yang lebih kanan,” desak beliau dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita Umno 2023 dengan tema “Meladeni Perubahan Politik” di WTCKL pada Khamis.
Tegas Noraini, Wanita Umno tidak akan pernah jemu dengan tuntutan sehingga ia dapat dicapai.
“Sudah tiba masanya untuk Wanita Umno mempunyai sebuah institusi yang mencungkil potensi dan melahirkan calon-calon wanita yang boleh kita ketengahkan.
“Wanita Umno mesti bergerak ke hadapan. Evolusi politik Wanita Umno perlu diberi lebih banyak perhatian agar lebih dipercayai, lebih moden, lebih berkelangsungan,” ujar Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi.
Dalam perkembangan lain, Noraini mengingatkan bahawa Umno bukan lagi sebuah parti dominan.
“Kita tidak akan bertanding semua kerusi. Kita perlu bermuafakat. Kita perlu berkompromi. Demi membawa kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan, yang kita dukung bersama.
“Seperti mana semua sedia maklum, kita bukan sahaja perlu memastikan kemenangan Barisan Nasional(BN) tetapi juga membantu rakan-rakan parti dalam gabungan kerajaan memenangi kerusi masing-masing, seperti mana kita mengharapkan sokongan yang sama daripada mereka.
“Ya. Saya tau, saya faham, ia memang sukar memandangkan Umno dengan sebahagian daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan sudah lama berseteru. Namun dalam mendepani kesukaran ini ingatlah pepatah Melayu, tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang tidak dapat dituruni. Kebangkitan dan kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita capai,” jelas beliau.
Justeru katanya, perhimpunan pada hari ini sangat penting untuk kita sama-sama mencari formula terbaik, dalam usaha kita memberikan nafas baharu kepada wanita, demi meletakkan semula Umno di persada negara.
“Saya ingin menyeru kepada seluruh jentera dan ahli Wanita Umno, membulat tekad yang baharu. Kekecewaan yang dahulu, kesedihan yang lalu, kita letak ke tepi. Kita ada tanggungjawab besar, dan kita perlu mengorak langkah ke hadapan.
“Dengan pengalaman yang cukup luas. Apa yang kita perlu, kita perlu sama-sama bangkit berjuang dan sama-sama membuktikan bahawa peranan Wanita Umno dalam menggerakkan jentera pilihan raya, bakal memberikan impak dan sekali gus memberikan kemenangan dalam PRN yang bakal tiba nanti,” seru beliau.