Tak Tunduk Dengan Presiden, Pemuda Tetap Mahu DAP Minta Maaf Kepada Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemuda Umno bertegas kekal dengan pendirian menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada DAP atas segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada Umno sebelum ini.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pendirian tegas itu dibuat demi menjaga masa depan parti keramat itu.

Ujar Dr Akmal, pihaknya tidak takut untuk berdepan sebarang tindakan sekiranya tampil dengan ketetapan berkenaan.

“Biarlah orang kata kita langau ke, biarlah orang kata kita biadab, yang penting kita tahu kita sedang bawa suara rakyat di bawah ini (akar umbi).

“Kita tak gentar dengan apa pun yang berlaku di depan selagi mana kita membawa suara keramat akar umbi Umno.

“Kami (Pemuda) sayang parti Umno, kalau tak sayang kami tak bercakap perkara yang betul, kalau tak sayang kami tak duduk dalam dewan ini… kalau tak sayang kami tak pakai samping Pemuda Umno,” kata ADUN Merlimau itu ketika berucap pada sesi penggulungan Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di WTCKL pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Akmal juga turut menggesa agar Pemuda Umno tidak berasa apologetik.

“Pemuda di hadapan saya, jangan pernah rasa apologetik.

“Keluar dari dewan ini kita patut berbangga kerana kitalah yang membawa suara di akar umbi,” katanya.

Sebelum itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, tiada keperluan buat DAP untuk membuat permohonan maaf kepada Umno.

Jelas Zahid, perkara itu tidak sepatutnya ditimbulkan semula selain segala perjanjian telah dipersetujui sewaktu fasa rundingan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Dr Akmal ketika menyampaikan ucapan dasar menggesa agar DAP membuat permohonan maaf secara terbuka sekiranya parti itu benar-benar ikhlas dalam menjalin kerjasama dengan Umno.

Tegasnya lagi, tindakan itu juga penting bagi melembutkan hati orang UMNO khususnya orang Melayu untuk membina kepercayaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Permohonan maaf secara terbuka itu antara lain juga merujuk kepada segala tohmahan yang pernah dilemparkan terhadap Umno sepanjang kedua-dua parti itu bermusuhan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat