Tengku Mahkota Pahang tuntut Persekutuan kembalikan hak eksport pasir sungai, hargai pengorbanan

KUALA LUMPUR – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menuntut Kerajaan Persekutuan memberikan semula kuasa dan hak untuk Pahang mengeksport pasir sungai bagi tujuan menambah hasil negeri.

Baginda meminta agar Persekutuan menghargai pengorbanan Pahang mengekalkan keluasan hutan yang luas, alam flora, dan fauna serta gunung-ganang yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem, kawasan tadahan hujan dan biodiversiti di Semenanjung Malaysia.

“Di sini, saya mahu Kerajaan Persekutuan cakna akan titah saya. Saya ingin menzahirkan prihatin saya tentang keadilan undang-undang Persekutuan yang tidak berpihak pada hak-hak negeri saya.

“Pahang merupakan antara empat negeri yang terawal membentuk negeri-negeri Melayu Bersekutu. Justeru, hasil negeri-negeri Bersekutu ketika itu disatukan dan disalurkan kembali mengikut kesesuaian keempat-empat buah negeri dan, negeri-negeri Bersekutu inilah juga yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia.

“Oleh itu, saya berharap Kerajaan Pusat turut memberikan keutamaan pengorbanan kepada besar negeri Pahang, kerana untuk mengekalkan keluasan hutan yang luas, alam flora, dan fauna serta gunung-ganang yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem, kawasan tadahan hujan dan biodiversiti di Semenanjung Malaysia.

“Pengorbanan negeri pahang ini tidak boleh sama sekali diukur dengan nilai sumbangan cukai kepada Persekutuan tetapi cukup signifikan dari segi keseimbangan alam sekitar, khususnya di Semenanjung Malaysia.

“Kerajaan Pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan negeri Pahang ini dan lebih mengutamakan negeri Pahang yang merupakan negeri yang terbesar di Semenjung Malaysia.

“Saya begitu kecewa apabila Kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha negeri Pahang untuk menambahkan hasil negeri seperti eksport pasir sungai memandangkan negeri Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia yang sudah tentu banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku seterusnya mengelakkan banjir.

“Sebelum ini, kita dapat menambahkan hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya, kerajaan Pusat tidak lagi membenarkannya sekarang ini sedangkan hasil tanah dan pasir ini merupakan hak negeri,” tegas Tengku Hassanal dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Kuantan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Tengku Mahkota Pahang juga mahu kerajaan Pusat memberikan kuasa dan ruang yang lebih kepada kerajaan negeri apabila melaksanakan satu-satu projek.

“Utamakan syarikat-syarikat atau kontraktor yang berasal dari negeri Pahang. . saya mahu peluang seperti ini diberikan kepada anak-anak negeri Pahang untuk melaksanakan projek-projek.

“memang benar pelantikan kontraktor G7 boleh dibuat kepada mana-mana dari seluruh Malaysia, tetapi, saya mahu keutamaan itu diberikan kepada, syarikat dari negeri Pahang yang sememangnya, diakui berkelayakan dan kompeten.

“Sekali lagi, saya tegaskan bahawa kerajaan Pusat semestinya teliti semula perkara ini, hak negeri Pahang sepatutnya dikembalikan semula kepada negeri Pahang.

“Janganlah satu hari nanti, negeri Pahang mengambil tindakan terhadap kerajaan Persekutuan.

“Saya mohon yang berhormat penasihat undang -undang negeri untuk kaji dengan teliti apa tindakan yang boleh kita ambil ke atas kerajaan Persekutuan untuk perkara ini.

“Saya juga ingin tekankan bahawa negeri Pahang, merupakan negeri yang berdaulat yang tidak perlu campur tangan daripada negeri lain dalam apa jua urusan perundangan, sebarang salah laku yang berlaku di negeri Pahang perlu diadili di mahkamah secara adil dan saksama, tidak perlu campur tangan daripada mana-mana pihak untuk menegakkan perkara yang tidak betul,” tegas baginda.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat