KUALA LUMPUR – “Kecewa dan terkilan ada pihak dakwa tiga gajah kita yang berada di Zoo Tennoji di Osaka, Jepun, kini tak sihat kerana stres keadaan sekeliling yang berbeza”.
Itu luahan Suhaimi Ibrahim, mahut atau gembala gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Lanchang, Pahang, yang ditugaskan selama sebulan mengawal Dara, Amoi dan Kelat atau dirujuk sebagai DAK di Osaka, selain diberi tanggungjawab mengajar lapan mahut tempatan di zoo terbabit.
“Selama sebulan saya bersama tiga gajah itu di Zoo Tennoji dan ketiga-tiga haiwan berkenaan dalam keadaan cukup sihat serta selesa,” katanya memetik BH di Kuantan pada Jumaat.
Menurut Suhaimi, 41, sepanjang bersama Dara, Amoi dan Kelat di zoo terbabit, haiwan berkenaan berada dalam keadaan cukup selesa dari segi penjagaan, makanan dan keadaan sekeliling.
“Gajah kita juga semakin dapat menerima kehadiran mahut yang bertugas dengan zoo berkenaan,” katanya yang bersama dua lagi kakitangan PKGK bertanggungjawab tiga gajah berkenaan selama sebulan di Osaka.
Mereka antara lain turut membantu menyediakan makanan seperti buah-buahan, pelet, buluh, rumput segar dan rumput kering dengan setiap hari, kira-kira 100 kilogram (kg) makanan disediakan.
“Ramai tak percaya apa kita cakap, mereka lebih percaya cerita tak benar yang tersebar luas mendakwa Dara, Amoi dan Kelat tak sihat sejak berada di Zoo Tennoji. Yang peliknya, ramai percaya cerita tak benar itu.
“Lebih menyedihkan, ada mendakwa saya dan dua lagi rakan bersekongkol menyebarkan cerita tak benar keadaan tiga gajah kita itu. Banyak lagi tuduhan tidak berasas dilemparkan pada kami menerusi media sosial yang berbaur fitnah.
“Sebagai kakitangan awam, kami menjalankan tugas sebaik mungkin. Setiap maklumat disampaikan semuanya benar, saya takut dengan dosa serta balasan Allah sekiranya apa yang sampaikan tidak bebar,” katanya.
Dua lagi kakitangan PKGK yang ditugaskan menjaga Dara, Amoi dan Kelat di Zoo Tennoji selama sebulan ialah Mohd Faizal Ahmad dan Ali Gadong dari komuniti Orang Asli Che Wong. Mereka bersama Suhaimi selama tiba di tanah air dari Jepun, semalam.
Suhaimi yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai mahut, berkata dia yang menjaga tiga gajah berkenaan selama sebulan sepatutnya lebih dipercayai.
“Maklumat yang saya sampaikan sepatutnya lebih dipercayai masyarakat, namun sebaliknya berlaku. Cerita tidak benar disebarkan netizen yang tidak pernah sampai di Zoo Tennoji begitu dipercayai hingga menimbulkan imej buruk pada negara.
“Kalau benar tiga gajah kita tak sihat, mana mungkin berat Kelat naik daripada 2,635 kilogram (kg) kepada 2,885kg, tambahan 250kg. Berat Dara meningkat daripada 2,125kg kepada 2,315kg, manakala Amoi daripada 1,415kg kepada 1,520kg. Mereka selesa di tempat baharu tanpa stres, jadi berat bertambah,” katanya.
Bapa empat anak ini merayu masyarakat, terutama pencinta gajah agar tidak terlalu mudah percaya cerita yang sama sekali tidak benar berkaitan tiga gajah berkenaan.
“Percayalah mereka dalam keadaan sihat dan selesa. Dara, Amoi dan Kelat kini semakin dapat menerima kehadiran pengunjung zoo, di Jepun kini cuti seminggu dan setiap hari kira-kira 1,000 pengunjung datang untuk melihat gajah kita dengan lebih dekat,” katanya.
Sementara itu, Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata pihaknya terus memantau keadaan tiga gajah terbabit dengan teliti melalui laporan teknikal harian yang dihantar pasukan di lapangan.



