Fenomena genKRU terus mencetuskan gelombang luar biasa dalam industri muzik tempatan apabila permintaan luar jangka untuk tiket konsert menyebabkan pihak penganjur, Icon Entertainment, mengambil keputusan menambah satu malam lagi persembahan! Konsert hari ke-4 yang dijadualkan pada Ahad, 11 Mei 2025 ini dijangka menjadi antara tiket konsert paling terhangat di pasaran tahun ini.
Sambutan terhadap tiga malam pertama konsert yang berlangsung pada 9 dan 10 Mei mengejutkan ramai apabila tiket habis dijual dalam masa kurang satu jam sahaja! Malah, malam ketiga turut diumumkan ‘sold out’ tidak lama selepas itu, membuktikan KRU masih menjadi legenda yang kekal relevan dan dinanti ramai.
Iman Tang, pengasas Icon Entertainment, meluahkan rasa terharu dengan sokongan tidak berbelah bagi daripada peminat.
“Tiket hari pertama habis dalam 1 jam, hari kedua hanya ambil masa 45 minit. Ini semua hasil kasih sayang peminat yang tidak pernah padam. Kami benar-benar terharu dan ‘speechless’,” ujarnya.
Melihat sambutan luar biasa ini serta mengambil kira cadangan ramai peminat melalui media sosial dan mesej peribadi, KRU dan pihak penganjur mengambil langkah segera menambah satu lagi malam persembahan sebagai hadiah istimewa buat semua peminat.
Konsert genKRU hari ke-4 bakal berlangsung pada Ahad, 11 Mei 2025 jam 8.30 malam di Axiata Arena, Kuala Lumpur. Tarikh ini dipilih kerana Isnin, 12 Mei adalah cuti umum sempena Hari Wesak, sekali gus menjadikannya waktu terbaik untuk para peminat dari seluruh negara hadir tanpa risau tentang hari bekerja.
Dato’ Norman, mewakili kumpulan KRU, menjelaskan keputusan ini diambil bukan sahaja kerana permintaan tinggi, tetapi kerana semangat peminat yang mahu mengulangi pengalaman istimewa dari malam-malam sebelumnya.
“Ramai yang DM minta tambah malam konsert. Ada yang mahu ‘repeat’, ada yang kecewa tak sempat beli tiket. Kami mahu semua GENKRU puas hati,” jelasnya.
Jualan tiket untuk malam ke-4 ini akan dibuka pada 8 Mei 2025 jam 1 petang menerusi laman rasmi:
👉 https://www.ticket2u.com.my/kruDay4
Berikut ialah kategori dan harga tiket yang ditawarkan:
- Impak Maksima – RM588
- Gerenti Beres – RM548
- Balada Hati – RM508
- Wanita – RM478
- Cherrina – RM358
- Malam Kita – RM258
Kategori tiket diberi nama unik sebagai penghargaan kepada lagu-lagu ikonik KRU, mencerminkan kreativiti dan nilai sentimental yang dibawa dalam konsert ini.
KRU bukan sekadar nama. Mereka adalah simbol revolusi muzik Malaysia sejak 1990-an, membawa aliran muzik pop, R&B, hip hop dan balada dengan gaya tersendiri. Konsert genKRU ini dilihat bukan hanya sebagai hiburan, tetapi juga perayaan warisan muzik tempatan yang telah memberi inspirasi kepada generasi demi generasi.
Dengan tiket tiga malam pertama sudah habis terjual, genKRU hari ke-4 kini menjadi rebutan terhangat di pasaran. Para peminat disarankan bersedia lebih awal sebelum jualan dibuka kerana dijangka ia akan ‘licin’ dalam masa yang sangat singkat.
Konsert “genKRU” dua malam sarat emosi, nostalgia & aura 90-an