JENDELA – Kejayaan Merapatkan Jurang Digital Rakyat

- Advertisement -

Akses internet yang stabil bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan asas dalam kehidupan moden. Pada tahun 2020, ketika leuruh dunia berhadapan sekatan perjalanan, akses internet telah menjadi satu keperluan mendesak.

Malangnya di Malaysia jurang digital antara bandar dan luar bandar sangat jauh berikutan sikap syarikat telekomunikasi mudah alih yang menumpukan di kawasan yang menguntungkan.

Berhadapan kritikan jurang akses digital antara bandar dan luar bandar yang meruncing dan kesedaran terhadap kepentingan kesalinghubungan digital, Kementerian Komunikasi telah melaksanakan Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai satu inisiatif strategik untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih pantas dan berkualiti.

Sejarah dan Matlamat JENDELA

JENDELA diperkenalkan pada tahun 2020 sebagai satu pelan nasional untuk menambah baik infrastruktur digital negara. Sebelum pelaksanaannya, Malaysia masih bergantung kepada rangkaian 3G yang tidak lagi memenuhi keperluan pengguna moden.

Kawasan luar bandar dan pedalaman menghadapi masalah liputan yang tidak stabil, kelajuan internet yang rendah, serta ketidakseimbangan akses antara bandar dan luar bandar. Pelajar di kawasan terpencil mengalami kesukaran dalam mengikuti pembelajaran dalam talian, manakala usahawan kecil di luar bandar sukar memanfaatkan ekonomi digital secara menyeluruh.

Sebagai penyelesaian, JENDELA dirangka untuk memperluaskan liputan 4G, meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar, serta membina asas yang kukuh untuk peralihan kepada teknologi 5G. Program ini dilaksanakan dalam dua fasa utama – fasa pertama memfokuskan kepada peluasan liputan 4G dan peningkatan kelajuan jalur lebar, manakala fasa kedua memberi tumpuan kepada pembangunan rangkaian 5G yang lebih mampan.

Pada peringkat awal, JENDELA menyasarkan untuk meningkatkan liputan 4G ke 96.9% di kawasan berpenduduk, menyediakan kelajuan internet mudah alih sekurang-kurangnya 35 Mbps, dan memperluaskan sambungan gentian optik kepada 7.5 juta premis menjelang 2025.

Sasaran ini bertujuan memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh, termasuk bagi kawasan luar bandar dan pedalaman yang sebelum ini terpinggir daripada pembangunan teknologi komunikasi.
Pencapaian JENDELA

Sejak pelaksanaannya, JENDELA telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan. Liputan 4G di kawasan berpenduduk kini telah meningkat kepada 96.92%, melebihi sasaran awal 96.9%. Kelajuan purata jalur lebar mudah alih juga melonjak kepada 116.03 Mbps, jauh lebih tinggi daripada sasaran asal 35 Mbps.

Dari segi infrastruktur, sebanyak 1,915 menara baharu telah dibina, sementara 24,566 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf kepada 4G. Sambungan gentian optik turut diperluaskan kepada lebih 5.1 juta premis, menjadikan akses internet berkelajuan tinggi lebih meluas dan inklusif.

Di Sabah, pencapaian JENDELA turut menunjukkan impak yang besar. Liputan internet di negeri ini telah mencapai 94.40%, dengan 426 daripada 659 menara komunikasi telah siap dibina. Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan penduduk luar bandar dan pedalaman tidak ketinggalan dalam arus pembangunan digital.

Menurut Ketua Pegawai Digital (CDO) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr Ag Asri Ag Ibrahim, sehingga 31 Disember 2024, liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah dilaporkan telah meningkat kepada 94.4 peratus berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA pada tahun 2020.

Manakala di Sarawak, usaha memperluaskan liputan digital turut menunjukkan kemajuan positif. Sehingga 31 Oktober lalu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan liputan internet di kawasan berpenduduk telah mencapai 90.09%.

Sebanyak 28 menara komunikasi baharu telah siap dibina menerusi inisiatif JENDELA Fasa 1, manakala tujuh lagi dijangka beroperasi pada suku pertama 2025.

Dalam masa yang sama usaha menambah baik capaian jalur lebar, kesemua 145 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf dan lebih 6,000 premis kini tersedia dengan gentian optik.

Manfaat Kepada Rakyat

Bagi masyarakat umum, kejayaan JENDELA membawa pelbagai manfaat, terutamanya kepada usahawan kecil dan peniaga atas talian.

Akses kepada internet yang stabil membolehkan mereka menjalankan perniagaan dengan lebih efisien melalui platform digital, e-dagang, serta pemasaran dalam talian. Ekonomi digital kini lebih inklusif, dengan lebih ramai individu meneroka peluang dalam ekonomi gig dan keusahawanan digital.

Dalam sektor pendidikan pula, peningkatan capaian internet memberikan akses yang lebih adil kepada sumber pembelajaran digital, terutamanya kepada pelajar luar bandar. Platform pembelajaran interaktif, kuliah maya dan bahan rujukan digital kini boleh diakses dengan lebih mudah, sekali gus mengurangkan jurang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar.

Cabaran

Walaupun JENDELA telah mencapai kejayaan yang besar, masih terdapat cabaran yang perlu diatasi. Salah satu isu utama adalah kesukaran membangunkan infrastruktur di kawasan pedalaman yang berbukit dan terpencil terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Proses pemerolehan tanah, cabaran geografi yang sukar, serta faktor cuaca yang tidak menentu turut menyebabkan kelewatan dalam pembinaan menara telekomunikasi. Selain itu, koordinasi antara kerajaan, penyedia perkhidmatan telekomunikasi, dan kerajaan negeri juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan JENDELA.

Untuk mengatasi cabaran ini, kerajaan harus terus bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital.

Pelaksanaan rangkaian 5G yang sedang giat dijalankan turut menjadi harapan baharu dalam memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi ini.

Dijangka menjelang akhir tahun 2025, iaitu tahun akhir pelaksanaan JENDELA, ia bukan sahaja akan mencapai sasaran malah telah membantu merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar secara secara drastik.

Ini adalah satu kejayaan penting kepada Kementerian komunikasi dan juga negara secara keseluruhan dalam menyediakan pentas menuju negara maju.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat