Hospital Diarah Bersiap Siaga Hadapi Situasi Di Luar Jangka

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Susulan peningkatan jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), hospital di seluruh negara diarah bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan situasi di luar jangka, lapor Sinar Harian pada Jumaat.

Menerusi surat ditandatangani Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bertarikh 7 Mei kepada semua pengarah kesihatan negeri menyatakan negara merekodkan 500 kes di ICU tertinggi sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Sebanyak 22 hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan penggunaan katil melebihi 70 peratus dan ada yang mencapai lebih 90 peratus penggunaan,” katanya.

Menurutnya, beberapa hospital bukan COVID-19 juga terpaksa merawat pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan di wad biasa.
“Selain itu, ada hospital terpaksa berdepan dengan masalah apabila kakitangan mereka dikuarantin, seterusnya menyukarkan lagi usaha untuk meningkatkan kapasiti di ICU,” katanya.

Beliau berkata, situasi berkenaan adalah membimbangkan.

“Selain meningkatkan langkah-langkah pencegahan dalam komuniti, setiap negeri perlu meningkatkan kesiapsiagaan hospital bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan situasi di luar jangka,” katanya.

Terdapat 10 langkah yang perlu diambil antaranya menangguhkan pembedahan dan prosedur elektif di hospital KKM.

“Penangguhan ini bagi membolehkan lebih banyak katil diagihkan kepada pesakit COVID-19 termasuk ICU,” katanya.

Hospital dan jabatan kesihatan negeri (JKN) turut diarah untuk mengenal pasti lebih banyak ruang atau wad di dalam hospital yang boleh ditukar fungsi bagi menambah bilangan katil sedia ada.

“Ini terpaksa dilakukan bagi meningkatkan kapasiti ICU yang semakin sesak,” katanya.

Selain itu, anggota yang baru dilantik secara kontrak atau baru ditempatkan di ICU perlu diberi latihan singkat dan pantas bagi memenuhi keperluan mendesak.

“Hospital bukan COVID-19 perlu bersedia menerima lebih banyak rujukan daripada hospital COVID-19 termasuk kes akut.

“Pakar dan anggota berkaitan boleh ditempatkan secara sementara di hospital bukan COVID-19 termasuk hospital tanpa pakar,” katanya.

Pelaksanaan pelan kesiapsiagaan hospital yang digariskan perlu dilapor dari masa ke masa.

KKM menerima 506 kemasukan ke wad ICU di seluruh negara termasuk 372 kes yang dikesan positif COVID-19.

Kes positif COVID-19 dilaporkan adalah 4,498 dan 22 kematian.

Sinar Harian sedang menunggu maklum balas Dr Noor Hisham berhubung surat berkenaan yang kini tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat