Kes buli sudah selesai

- Advertisement -

ANNYEONGHASEYO! Susulan tuduhan penyanyi Mingyu yang juga anggota SEVENTEEN seorang kaki buli di sekolah, agensinya Pledis Entertainment tampil dengan kenyataan terakhir berhubung kontroversi itu.

Menurut agensi terbabit, mereka sudah menyelesaikan kemelut yang melanda penyanyi itu sejak Februari lalu.

Antara inisiatif dilakukan adalah mencapai kata sepakat dengan individu yang membuat tuduhan asal.

Dalam kenyataan terbabit, Pledis Entertainment mengaku artis naungan mereka itu sangat kesal dengan kontroversi menimpanya.

Justeru, mereka berharap isu itu akan selesai selepas segala usaha menjernihkan keadaan dibuat.

“Pertama, agensi kami sudah memeriksa segala fakta kes tanpa tercicir mana-mana butiran. Sepanjang proses ini, kami berusaha menangani setiap permasalahan dan memastikan tiada siapa yang rasa ditindas lagi.

“Kami berhubung terus dengan penulis-penulis yang membuat perkongsian mengenai artis kami. Mana-mana fakta yang kami dapati tidak betul, kami cepat-cepat betulkan menerusi media,” kata agensi itu.

Hasil daripada perjumpaan dibuat dengan pihak yang menuduh Mingyu, agensi itu turut bertukar maklumat dan pandangan.

Mereka menghormati pendapat individu yang menuduh itu, namun tetap mengambil kira kenyataan penyanyi itu juga.

“Artis kami (Mingyu) menjelaskan sewaktu di sekolah menengah, dia akan ikut ketawa dengan setiap jenaka dibuat rakan-rakannya tanpa berfikir panjang. Oleh itu, banyak peristiwa yang dia langsung tak ingat.

“Bagaimanapun, dia meminta kami sampaikan mesejnya bahawa dia memohon maaf dari hati terdalam andai ada yang terguris disebabkan kejahilannya. Individu yang menuduhnya juga setuju untuk tidak memanjangkan isu itu,” kata agensi berkenaan.

Tidak mahu peminat terus bimbang, Mingyu turut tampil dengan permohonan maaf berhubung kontroversi terbabit.

Menurutnya, dia merana sepanjang berdepan pengalaman yang tidak akan dijangka menimpanya itu.

“Pengajaran yang saya dapat adalah apa juga aksi saya mampu lukakan seseorang walaupun tanpa disengajakan. Ia juga memberi saya masa untuk melihat kembali kesilapan lampau agar dijadikan pedoman pada masa hadapan.

“Saya kena jadi insan yang lebih matang agar dapat membalas jasa baik peminat dengan tenaga lebih positif. Saya berjanji akan lebih berhati-hati dengan tindak-tanduk saya serta bekerja keras demi peminat,” katanya.

Pada Februari lalu, Mingyu dituduh pernah menjadi kaki buli di sekolah menerusi beberapa hantaran dalam talian yang kemudiannya tular. Pledis Entertainment mulanya menafikan khabar angin itu.

Bagaimanapun, tuduhan demi tuduhan terbit menyebabkan agensi terbabit memulakan siasatan mereka sendiri berhubungnya. Agensi itu mendakwa, ada beberapa fakta yang dikongsi tidak betul.

Dengan kenyataan terbaharu itu, agensi terbabit menyimpulkan kes berkenaan sudah selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi.

Mereka turut mengumumkan Mingyu akan kembali rancak dengan aktiviti seninya semula selepas direhatkan berikutan tuduhan itu.

Harian Metro

Previous article
Next article
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat