Sejenak di bumi Balkan

KEMBARA kami di bumi Balkan bermula di Zagreb yang juga ibu negara Croatia selepas menempuh perjalanan kira-kira 400 kilometer dari Vienna, Austria pada 2019.

Penjelajahan kami di kota Zagreb bermula di Dataran Ban Jelicic yang mendapat nama sempena nama seorang jeneral tentera.

Warna kuning mendominasi bangunan bersejarah di sini dengan seni bina Austro-Hungarian yang unik, utuh dan terpelihara rapi.

Di tengah dataran terdapat monumen berkuda Jeneral Jelicic dan kolam mata air Mandusavec. Walaupun kecil dan seni bina sederhana, cerita legenda di sebalik kewujudan mata air itu sangat menarik.

Kami terpegun melihat keindahan dan ketenangan bandar itu. Sayangnya, saat kami tiba di Zagreb, festival bunga di dataran itu baru saja berakhir, kalau tidak tentulah lebih meriah.

Salah satu muzium yang menarik perhatian kami ialah Museum of Broken Relationship yang mempamerkan pelbagai hadiah kenangan pasangan putus cinta atau bercerai disertakan catatan ringkas kisah cinta, tarikh dan lokasi.

Meneruskan perjalanan, kami singgah di hadapan arca patung gangsa St George The Dragon Slayer iaitu seorang pahlawan handal yang dikatakan berjaya membunuh seekor naga yang menculik seorang puteri raja.

 

PENULIS (duduk tiga dari kiri) bersama rakan.
PENULIS (duduk tiga dari kiri) bersama rakan.

 

Pemandangan bandar Zagreb dari atas bukit ini sangat indah. Selesai merakam kenangan dan membeli sedikit cenderahati, kami menyusur turun hingga ke Dolac Bazaar iaitu pasar tani tradisional Zagreb yang sangat popular dengan identitinya iaitu payung merah.

Sebelum bertolak ke Bosnia-Herzegovina, kami singgah di Islamic Centre Zagreb yang reka bentuknya sangat unik kerana berbumbung hijau seakan-akan buah tembikai. Di dalamnya ada kafe, kedai cenderahati, perpustakaan dan pejabat.

 

JAMBATAN Stari Most.
JAMBATAN Stari Most.

 

Melewati sempadan Crotia-Bosnia, mata terpaku dan hati tiba-tiba menjadi sayu melihat rumah yang dipenuhi kesan tembakan. Tanpa sedar, air mata gugur membayangkan peristiwa berdarah yang penuh keperitan dan penderitaan.

Bosnia-Herzegovina terletak di pertemuan antara dunia Timur dan Barat sekali gus menyebabkan berlaku campuran unik sejarah zaman Kerajaan Uthmaniyah dan Austria-Hungary.

Pemandangan perkampungan berlatar belakang jajaran gunung yang di puncaknya masih dilitupi salji dengan rumah lama gaya Eropah berserombong asap di tengah-tengah ladang zaitun dan epal, dihiasi anak sungai kecil mengalir jernih dan binatang ternakan yang gemuk serta gebu meragut rumput di padang, seolah-olah menggamit kami untuk singgah.

Kami tiba di Sarajevo jam 10 malam dan mendaftar masuk di Hotel Hollywood dengan dihidangkan pelbagai makanan yang enak sehingga rambang mata.

‘Do not forget. Remember and warn.’ Itulah yang tertulis pada papan tanda di hadapan National and University Library yang pernah dibakar tentera Serb pada malam 25 hingga 26 Ogos 1992 sehingga memusnahkan dua juta buku, dokumen dan lain-lain. Di hadapan perpustakaan pula terdapat jalur laluan trem.

 

KEINDAHAN Bosnia.
KEINDAHAN Bosnia.

 

Kami lewati lorong pejalan kaki di Bascarsija yang dipenuhi bazar menjual kraf tangan daripada perak, tembaga, pakaian, gula-gula, kafe dan sebagainya sebelum sampai di Masjid Gazi Husrev Bey yang dibina pada 1531.

Berhadapan masjid terdapat Muzium Gazi Husrev Bey yang dibina menggunakan batu sungai.

Kami kemudian berjalan santai sebelum sampai di Pigeon Square. Sesuai dengan namanya kerana terdapat banyak burung merpati di situ.

Di sini juga terdapat sebuah wakaf pancuran mata air yang diperbuat daripada kayu iaitu ‘sebilj’ yang dibina Mahmed Pasha Kukavica pada 1753.

Cuaca yang dingin, aroma kopi, roti dan piza yang dibakar dari kafe di persekitaran amat menyelerakan.

 

REKA bentuk Pusat Islam Zagreb yang unik.
REKA bentuk Pusat Islam Zagreb yang unik.

 

Minum kopi adalah budaya Turki yang diadaptasi ke Bosnia untuk meraikan dan beramah mesra sesama rakan taulan, malahan peralatan yang terdiri daripada teko, cawan serta sudu comel yang diperbuat daripada tembaga berukir penuh kesenian cukup menzahirkan betapa pentingnya budaya itu.

Meneruskan perjalanan yang memakan masa kira-kira setengah jam dari Sarajevo, kami tiba di Mostar, bandar lama berusia 600 tahun yang terkenal dengan jambatan bersejarah Stari Most/The Old Bridge.

Ia menjadi ikon Bosnia, selepas siap dibina pada 1557 oleh Mimar Hayreddin.

Jambatan setinggi 20 meter yang merentangi Sungai Neretva dipenuhi pelancong yang sedang menunggu aksi penerjun bebas.

Kami singgah di menara pertama jambatan untuk melihat dan merakam pemandangan Mostar. Di menara ini juga menempatkan muzium perang yang mempamerkan gambar dirakam semasa peperangan.

Berlatarkan jajaran pergunungan, di seberang sungai terdapat sebuah perkampungan lama era empayar pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah.

Di sinilah terletaknya Masjid Koski Mehmed Pasha. Memasuki masjid percuma, tetapi untuk menaiki menaranya, pelancong dikenakan bayaran dua euro kerana di sinilah tempat paling strategik untuk melihat lebih jelas keindahan pemandangan bandar Mostar.

Di pesisiran sungai dipenuhi dengan bazar pelbagai jualan dan kafe. Menariknya, pelayan di sini kebanyakannya menggayakan pakaian tradisional. Selesai membeli-belah sedikit cenderahati, kami berangkat ke destinasi negara seterusnya, Albania.

Kami tinggalkan bumi indah yang dipenuhi parut dek peperangan ini dengan doa dan berharap dapat kembali semula ke Bosnia-Herzegovina kerana masih banyak lagi tempat indah di sini yang belum sempat dijelajahi.

Harian Metro

Topik Hangat

50 Buffet Ramadhan 2021 Kuala Lumpur Selangor

Bulan puasa kini menjengah, namun sudahkah anda jumpa destinasi buffet untuk sesi iftar nanti? Atau anda masih tercari-cari destinasi buffet yang mana yang patut anda...

UMNO 3.0 Sedia Singkir Zahid, Najib Termasuk Mat Hasan Ogos Ini : Laporan

KUALA LUMPUR - Spekulasi tersebar luas berkait rancangan yang sedang berjalan untuk menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Datuk...

Saya Tak Tahu Suami dan Anak Zeti Terima Wang 1MDB – Mahathir

PETALING JAYA - Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui berhubung dakwaan bahawa suami dan dua anak bekas gabenor Bank Negara,...

Berita Berkaitan

Apple bakal perkenal generasi iPad baharu Selasa ini

Pengeluar peranti pintar terkemuka, Apple bakal mengadakan acara pertamanya untuk tahun ini yang bertemakan 'Spring Loaded' pada Selasa ini. Ia adalah majlis pertama untuk Apple...

Artis serba boleh

MESKIPUN penularan Covid-19 dalam negara sejak tahun lalu, menghalang kebanyakan penyanyi terbabit dengan aktiviti persembahan, ia tidak mematahkan semangat penyanyi Atilia Haron untuk terus...

2.7 juta tonton konsert BTS

Seoul: Lebih 2.7 juta menonton konsert kumpulan BTS, BANG BANG CON 2021 di seluruh dunia yang berlangsung secara maya, kelmarin. Agensinya, Big Hit Music mengumumkan...