KUALA LUMPUR, 7 Mac 2026 – Kementerian Komunikasi mempergiat usaha meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat menerusi peluasan Kempen Internet Selamat (KIS) ke kawasan tumpuan komuniti seperti perumahan, masjid dan surau tahun ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu bertujuan memastikan kesedaran berkaitan keselamatan siber dapat disampaikan secara lebih meluas kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, fokus pelaksanaan KIS tahun ini turut melibatkan kerjasama dengan persatuan penduduk, jawatankuasa rukun tetangga serta institusi masjid dan surau bagi memperkukuh penyampaian mesej keselamatan digital kepada komuniti setempat.
“Di samping itu, kita juga akan mengaktifkan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi memastikan program KIS mencapai matlamatnya,” katanya selepas melancarkan Kempen Internet Selamat @ Bazar Ramadan di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini hari ini.
Fahmi berkata jika tahun lalu kempen tersebut memberi tumpuan kepada sekolah, tahun ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperluaskan pelaksanaannya kepada masyarakat umum termasuk di bazar Ramadan.
Beliau berkata usaha memastikan Internet selamat bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau penyedia platform media sosial semata-mata, sebaliknya turut memerlukan peranan ibu bapa dalam memantau penggunaan Internet oleh anak-anak.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata edisi Ramadan KIS dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran pengunjung bazar mengenai kepentingan mengamalkan budaya penggunaan Internet secara selamat.
Menurutnya ketika ini ramai pengguna media sosial menjadi mangsa buli siber, penipuan dalam talian dan pedofilia, khususnya mereka yang tidak mempunyai tahap literasi digital yang tinggi.
Mengulas mengenai kemungkinan gangguan Internet susulan konflik di Timur Tengah, Fahmi berkata perkhidmatan Internet di Malaysia ketika ini berada dalam keadaan baik dan terkawal.
“Saya tidak melihat sebarang masalah besar berdasarkan laporan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA). Setakat ini, tiada kesan terhadap sistem urusan dalam talian,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa MCMC bersama agensi keselamatan negara sentiasa memantau keadaan bagi memastikan ruang siber negara kekal selamat termasuk daripada sebarang pencerobohan pihak luar. – BERNAMA



