Makmal Invasif Kardiologi kedua HSB bernilai RM22.5 juta, tingkatkan kapasiti rawatan pesakit jantung – Dr. Dzulkefly

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyalurkan peruntukan pembangunan kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebanyak RM6.93 juta melibatkan 63 projek bagi tempoh 2023 hingga 2025, kata Menterinya, Datuk Seri Dr. Hj. Dzulkefly Ahmad.

Kementerian juga telah menambah peralatan Makmal Invasif Kardiologi (ICL) kedua di HSB bernilai RM22.5 juta bagi meningkatkan kapasiti rawatan pesakit jantung.

Menerusi ICL di hospital ini, perkhidmatan rawatan jantung juga dapat diberikan dengan lebih efisyen serta berkesan, dan dengan wujudnya kemudahan-kemudahan peralatan dan teknologi yang canggih bagi membantu merawat pesakit-pesakit jantung.

Dzulkefly berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan merasmikan ICL kedua di Unit Rawatan Jantung (CCU) HSB KM 6 Jalan Langgar dekat sini, pada Sabtu.

Beliau turut meluangkan masa menyantuni para pesakit serta meninjau perkembangan perkhidmatan kesihatan serta keperluan semasa hospital tersebut dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Nor’ Aishah Abu Bakar; Pengarah HSB, Dr. Fauziah Abd Wahab; Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan KKM, Dato’ Sri Zahrul Hakim Abdullah, Setiausaha Bahagian Kanan KKM, Datin Paduka Roslinah Md Jani; dan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Dr. Nor Hayati Ibrahim.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata ICL kedua ini membolehkan tempoh menunggu pesakit untuk menjalani prosedur jantung dijangka dapat dikurangkan sehingga 50 peratus (%).

Selain itu, HSB mempunyai enam doktor pakar kardiologi yang komited dalam memastikan perkhidmatan rawatan jantung kepada pesakit dapat diberikan secara lebih cekap.

Tambahnya, pembangunan dan penambahan kemudahan baharu di HSB diharap mampu memperkukuhkan peranannya akan menjadi pusat rujukan utama bagi rawatan kesihatan di wilayah utara.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata masalah kekurangan tempat letak kereta yang sekian lama membelenggu dan berlarutan di HSB dijangka selesai apabila kemudahan parkir bertingkat baharu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung April ini.

Kemudahan parkir bertingkat ini yang menelan belanja RM 13.96 juta apabila siap kelak akan menyediakan sebanyak 500 petak parkir berbumbung serta 400 petak parkir terbuka, katanya ketika turun padang meninjau perkembangan lanjut projek ini.

Katanya lagi, pembinaan parkir ini bagi mengatasi dan mengurangkan kesesakan yang acap kali berlaku di HSB, selain itu dapat memberi keselesaan bukan sahaja kepada pesakit, malah pelawat dan kakitangan.

Tambahnya, kemudahan ini merupakan inisiatif kerajaan pusat bagi menambah baik taraf kemudahan di hospital kerajaan yang menerima jumlah pengunjung tinggi setiap hari.

Untuk rekod, HSB mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2007 kini merupakan hospital rujukan utama di Kedah dan Perlis dengan kapasiti 1,108 katil, menawarkan 17 kepakaran dan 62 subkepakaran, serta disokong oleh lebih 231 pakar perubatan dan lebih 4,000 anggota kesihatan . -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat