Kempen Internet Selamat MCMC meriahkan bazar Ramadan di 19 lokasi seluruh negara

KUALA LUMPUR, – Bazar Ramadan di 19 lokasi seluruh negara hari ini bukan sahaja meriah dengan kehadiran pengunjung yang mencari juadah berbuka puasa, malah turut dimanfaatkan sebagai platform santai untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian menerusi penganjuran Kempen Internet Selamat (KIS) @ Bazar Ramadan 2026.

Kempen anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi interaktif berkaitan keselamatan Internet, demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa serta program bersama pengunjung bazar.

Di ibu negara, MCMC turut mengagihkan 500 kit Ramadan di bazar Ramadan IWK Eco Park Pantai Dalam yang mengandungi risalah kempen kepada pengunjung bagi memperluas pemahaman mengenai keselamatan ketika melayari Internet.

Seorang pengunjung bazar, Rabiatul Adawiyah Idris, 40, menyifatkan penganjuran kempen di lokasi tumpuan masyarakat sebagai pendekatan tepat dalam menyampaikan mesej dan pendedahan mengenai keselamatan Internet kepada orang ramai, terutama kandungan yang melibatkan kanak-kanak.

“Program seperti ini membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan Internet secara selamat, terutamanya dalam kalangan anak-anak berusia 16 tahun dan ke bawah,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu di Pahang, sambutan pengunjung terhadap Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan Tasik Abu Bakar, Pekan amat menggalakkan apabila reruai MCMC mula diserbu orang awam seawal 4 petang.

Pengarah Kanan MCMC (Wilayah Timur) Mohd Fairus Mohamad berkata kempen itu memberi pendedahan berterusan kepada masyarakat berkaitan risiko penyalahgunaan Internet seperti penipuan dalam talian, buli siber dan penyebaran berita palsu.

Di Terengganu pula, pengunjung Bazar Ramadan Shahbandar, Kuala Terengganu, Maheran Mohamed, 38, berkata penganjuran kempen itu tepat pada masanya susulan peningkatan kes jenayah siber kebelakangan ini.

Menurutnya, program seperti itu membantu ibu bapa menambah pengetahuan bagi melindungi anak-anak daripada ancaman dalam talian.

Di Pulau Pinang, reruai MCMC di Bazar Ramadan Bertam Putra turut menampilkan demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa pada aplikasi kepada pengunjung selain pengedaran 500 kit Ramadan yang mengandungi risalah berkaitan kempen berkenaan.

Sementara itu di Negeri Sembilan, Pengarah MCMC negeri Md Tahir Musa berkata reruai MCMC di Bazar Ramadan Metropark Sendayan menerima sambutan menggalakkan sejak 3 petang dengan pengunjung diberikan pelbagai maklumat dan tip keselamatan siber.

Antara maklumat yang dikongsi termasuk cara mengenal pasti taktik penipuan dalam talian, melindungi maklumat peribadi serta langkah awal sekiranya menjadi mangsa jenayah siber.

Kempen KIS @ Bazar Ramadan turut diadakan di beberapa lokasi lain antaranya Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam di Selangor, Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan, Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya, Perak, MITC Ayer Keroh di Melaka serta Bazar Ramadan Arau di Perlis.

Di Sabah, reruai KIS di Bazar Ramadan Sabindo, Tawau tidak putus menerima kunjungan orang ramai yang ingin mengetahui lanjut mengenai penggunaan Internet secara selamat, terutama selepas kerajaan memperketatkan undang-undang berkaitan penggunaan media sosial bagi individu berumur 16 tahun ke bawah.

Di Sarawak pula, reruai kempen di Bazar Ramadan Stutong, Kuching sentiasa dipenuhi pengunjung sejak 2 petang yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan kes penipuan dalam talian.

Pengarah MCMC Cawangan Kuching Scott Kueh Sui Yek berkata selain program di bazar Ramadan, pihaknya turut aktif menjalankan kempen kesedaran di sekolah rendah dan menengah bagi meningkatkan literasi digital serta keselamatan Internet dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata kempen itu juga akan diperluaskan kepada komuniti setempat termasuk ibu bapa bagi memastikan mesej mengenai keselamatan Internet dapat disampaikan kepada lebih ramai pihak. – BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat