Bumbung Stadium Mini Di Pulau Pinang Tercabut Dibadai Angin Kuat

- Advertisement -

GEORGE TOWN – Penduduk di Flat Seri Delima di Sungai Ara di sini bertempiaran lari apabila bumbung sebuah stadium mini tercabut dalam kejadian angin kuat petang tadi.

Mereka terdiri lebih 20 penduduk termasuk kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri ketika bumbung stadium berkenaan tertanggal akibat dibadai angin kuat lalu tersangkut pada pagar besi perumahan flat berkenaan kira-kira pukul 5.15 petang tadi.

Semasa kejadian, semua penduduk tersebut dikatakan sedang berada di kedai berhampiran termasuk di tangga stadium.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Nor, 49, berkata, dia terkejut sebaik sahaja mendengar jeritan kuat orang ramai dari lokasi tersebut.

“Kejadian berlaku dalam tempoh singkat iaitu kurang tempoh 10 saat. Angin kuat terus membadai bumbung stadium mini itu hingga terbang ke tepi perumahan di sini.

“Mujur tiada sebarang kemalangan mahupun kecederaan orang awam yang ada di situ. Hanya tiga buah kereta dan motosikal sahaja yang terperangkap di bawah bumbung,” jelasnya ketika ditemui di sini.

Ketika ini, kerja-kerja mengalihkan struktur bumbung sedang dilakukan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang berada di tempat kejadian.

Dalam pada itu, kejadian ribut petang tadi turut mengakibatkan berlakunya kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan di negeri ini selain turut menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk.

Menurut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), pihaknya menerima sekurang-kurangnya 16 laporan kejadian pokok tumbang bermula pukul 5.18 petang tadi.

Kawasan itu termasuk di Gerbang Midlands; Taman Sri Bayan, Bayan Lepas; Lengkok Merbah; Air Ita; Relau dan Taman Tunas Muda Bayan Baru.

Bagaimanapun, kakitangan MBPP segera melakukan kerja-kerja pembersihan termasuk di lokasi yang menyebabkan berlakunya halangan lalu-lintas. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat