“Pernah dilabel musuh Islam, Tengku Maimun tak akan tunduk setinggi mana pun individu itu”

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat buat pertama kalinya hari ini meluahkan isi hatinya mengenai pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi sejak menjawat jawatan itu pada 2019.

Tengku Maimun yang akan bersara pada tahun ini berkata, beliau difitnah dan dilabel tidak Islam, malah ada pihak yang menggunakan suami beliau sebagai alasan untuk mengenepikan beliau daripada mendengar prosiding mahkamah.

Bagaimanapun, Tengku Maimun menegaskan, semua itu tidak menghalang beliau untuk menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.

“Saya dikritik, difitnah, dilabel sebagai tidak Islam atau musuh Islam, dan suami saya (secara tidak adil) digunakan terhadap saya dalam beberapa permohonan bukan saja untuk meminta saya diketepikan (bagi mengadili perbicaraan) tetapi secara lebih umum untuk memalukan saya dan rakan saya.

“Tiada satu pun daripada mereka yang akan atau pernah dapat menembusi ujian hati nurani saya dan segala puji bagi Allah, saya tidak pernah bimbang disebabkan komen-komen ini.

“Saya di sini untuk menjalankan tugas dan komited sepenuhnya untuk melaksanakannya dengan betul. Saya tidak akan tunduk kepada mana-mana individu, tidak kira setinggi mana mereka, untuk melakukan apa yang dituntut mereka daripada saya,” katanya pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Putrajaya pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Tengku Maimun menegaskan tiada mana-mana pihak selain Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan Perdana Menteri yang boleh mencadangkan calon untuk pelantikan ke semua jawatan hakim di mahkamah atasan.

Tengku Maimun menegaskan, perkara itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan hakim, yang dibaca bersama prosedur tambahan dalam Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695), lapor BH.

Beliau berkata, sebarang bentuk ketidakpatuhan kepada peruntukan terbabit boleh menyebabkan pelantikan hakim berkenaan menjadi tidak sah dari segi Perlembagaan atau melanggar undang-undang.

“Justeru, tiada individu, sama ada Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, mana-mana peguam atau peguamcara, parti politik, Peguam Negara atau mana-mana individu lain yang berhak mencadangkan nama kepada Perdana Menteri untuk pelantikan.

“Jika ini dilakukan, bukan saja badan kehakiman dipijak, kebebasannya dicabuli dan dikikis, malah ia adalah percubaan untuk campur tangan dalam perjalanan keadilan dengan mempengaruhi perjalanan kehakiman,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat