Setakat Ini Perhimpunan Agung UMNO 2022 Tidak Jemput Parti Lain – Ahmad Maslan

- Advertisement -

KUANTAN – Tiada sebarang jemputan dikeluarkan kepada parti politik selain komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN untuk menghadiri Perhimpuan Agung UMNO 2022 yang bermula Rabu ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perhimpunan kali ini juga tidak akan menjemput perwakilan asing kerana ingin menyelesaikan semua perkara yang berhubung kait dengan isu dalaman parti dan BN.

“Setakat ini, itulah keputusannya melainkan jika ia berubah dalam sehari dua ini. Tidak menjemput bukan bermakna kita tidak berkawan tetapi kerana kita hendak menumpukan kepada isu dalaman parti, muhasabah dan sebagainya,” kata beliau.

Ahmad berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Penerangan Isu Semasa Terkini Negara di sini hari ini yang berlangsung secara tertutup dan dihadiri 1,309 pimpinan UMNO Pahang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan perubahan jemputan boleh berlaku bergantung kepada keputusan pimpinan tertinggi parti.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau belum menerima jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang akan diadakan dari 11 hingga 14 Jan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata UMNO belum mengadakan perbincangan atau mesyuarat dengan Pakatan Harapan mengenai kerjasama bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.

“Parti masing-masing bermesyuarat secara sendiri-sendiri. Bagaimana kerjasama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan itu kita tunggu. Belum ada lagi sebarang mesyuarat khas mengenainya,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata UMNO akan menumpukan kepada PRN selepas Perhimpunan Agung parti itu.

Mengenai program hari ini, Ahmad berkata ia bertujuan memberi penjelasan kepada pimpinan parti mengenai situasi semasa negara dan merancang memperluaskannya ke negeri lain terutama yang bakal menghadapi PRN.

Ditanya mengenai Langkah London, Ahmad menyifatkan perkara itu sebagai spekulasi dan beliau tidak mempunyai rekod bahawa ada pihak tertentu mengadakan mesyuarat di bandar raya tersebut.

“Ramai yang bercuti di London, tidak semestinya ada langkah tertentu. Kalau mereka hendak mesyuarat, mereka boleh bermesyuarat di mana-mana. Saya rasa kebetulan (mereka) cuti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat satu pertemuan rahsia di London yang kononnya sedang mengatur gerakan bagi membuat penjajaran semula politik negara. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat