Oleh Zihan Zari
CYBERJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah melaksanakan Operasi Tapak Pembinaan (OTP) di tapak pembinaan dekat sini pada Khamis.
OTP ini diketuai oleh Ketua Pengarah JKKP, Ir. Hj. Mohd Hatta Zakaria bersama Timbalan Ketua Pengarah JKKP (Keselamatan Pekerjaan),
Bahrudin Mamat, dan Pengarah JKKP Selangor, Ir. Ahmad Jailani Mansor.
Mohd Hatta berkata, operasi ini dijalankan untuk mempergiat aktiviti penguatkuasaan selain meningkatkan pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan, memberikan kesedaran kepada majikan dan pekerja tentang pentingnya menjaga keselamatan serta kesihatan semasa bekerja.
Selain itu, memantau kerja-kerja di tempat tinggi khususnya kepada skop-skop kerja yang berisiko seperti bekerja di tempat tinggi, kerja mengangkat dan kerja konkrit.
Menurut beliau, Akta keserlamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 dan Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 telah dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.
Menurutnya, sebanyak 217 kecederaan melibatkan 65 maut pada 2021 dan 2022 pula 160 kecederaan melibatkan 63 maut, manakala pada 2023 sebanyak 203 kecederaan melibatkan 68 maut telah direkodkan dan 1,144 kes jatuh dari tempat tinggi telah dilaporkan kepada JKKP.
“Di antara penyebab kecederaan tertinggi adalah persekitaran pekerjaan yang tidak selamat seperti tepian dan lubang terbuka yang tidak diadang dan tidak memakai kelengkapan perlindungan diri.
“Penyebab kecederaan kedua pula akativiti mengangkat melalui pengangkutan dan mengangkat peralatan dengan bilangan sebanyak 1389 kes yang dilaporkan.
“JKKP telah menjalankan sebanyak 3 OTP di seluruh negara antaranya, OTP Bil. 1/2024 bertemakan ‘Tapak Bina Selamat, Tiada Jatuh Lagi’ telah dijalankan pada 27 Februari sehingga 6 Mac lalu di 133 tapak bina yang memfokuskan kepada aktiviti kerja di tempat tinggi dan kerja mengangkat.
“OTP Bil. 2/2024 pula dijalankan pada 2 September sehingga 13 September lalu dengan tema ‘Double SPARK’ yang memfokuskan kepada Sebaran Perundangan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.
“Tujuannya untuk melihat sejauh mana pihak industri dan majikan mengetahui dan mematuhi perundangan Akta keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) mula dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu, telah dijalankan di 192 tapak bina di seluruh negara,
“Manakala OTP Bil. 3/2024 bertemakan ‘Tiada Jatuh, Pekerja Selamat’ telah dijalankan serentak di seluruh negara pada 25 November sehingga 29 November lalu memfokuskan kepada Pengetahuan Am Peraturan-Peraturan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, bekerja di tempat tinggi dan kerja-kerja mengangkat, melibatkan 150 tapak bina,”katanya lagi.
“Secara keseluruhannya, sejumlah 475 tapak bina telah terlibat dalam ketiga-tiga operasi tapak pembinaan ini.
“Bagi tindakan punitif, pada OTP 1 sebanyak 161 Surat Arahan, 148 Notis Larangan, 36 Notis Perbaikan, 91 Notis Sita, 103 Cadangan Kompaun dan 7 Cadangan Pendakwaan telah direkodkan.
“OTP 2 pula sebanyak 187 Surat Arahan, 73 Notis Larangan, 76 Notis Perbaikan telah dikeluarkan, manakala pada OTP 3 sebanyak 150 Surat Arahan, 195 Notis Larangan, 75 Notis Perbaikan, 11 Notis Sita dan 2 Cadangan Pendakwaan telah dikeluarkan,”ujarnya.
“Antara kesalahan-kesalahan yang telah dikenakan tindakan punitif ialah tepian terbuka yang tidak diadang dan tiada pelan mengangkat.
“JKKP telah mengeluarkan sejumlah 498 Surat Arahan, 416 Notis Larangan, 187 Notis Perbaikan, 102 Notis Sita, 103 Cadangan Kompaun dan 9 Cadangan di Pendakwaan sepanjang ketiga-tiga OTP ini.
“JKKP komited dalam menjalankan pemantauan berterusan bagi membanteras kejadian kemalangan di industri pembinaan dengan tujuan mengurangkan kadar kecederaan dan maut, ”ujarnya lagi.
“Semua pihak yang terlibat termasuk klien, pereka bentuk dan pembina hendaklah memastikan projek pembinaan dijalankan dengan selamat dan sihat melalui pematuhan terhadap Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan), (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 dan garis panduan yang berkaitan sektor pembinaan yang telah dikeluarkan oleh pihak JKKP.
“Majikan hendaklah memastikan pekerja yang bekerja di sektor ini diberi latihan yang mencukupi supaya mereka mempunyai pengetahuan dan kesedaran tentang kerja selamat dan sihat,”tegasnya.
“JKKP tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan atau pengurus projek yang gagal mematuhi peruntukan perundangan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Ianya bagi memastikan tapak pembinaan dan kawasan berhampiran selamat dan kondusif kepada pekerja dan orang awam yang mungkin terdedah kepada aktiviti di tapak bina, ”tegasnya lagi. – SUARA.TV