KUALA LUMPUR – Peruntukan berjumlah RM22.75 juta bagi sektor pertanian menerusi Belanjawan 2024 memperlihatkan Kerajaan Negeri Sembilan serius dalam meningkatkan sekuriti dan jaminan bekalan.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, peruntukan yang merupakan antara terbesar itu juga membolehkan pelbagai usaha dilaksanakan untuk terus membangunkan sektor itu sebagai industri yang menjana ekonomi negeri.
“Kerajaan Negeri Sembilan begitu serius dalam membela dan mengambil kira keperluan sektor pertanian, perladangan, komoditi, kos sara hidup dan kehidupan di luar bandar.
“Selain itu, suka saya memberi fokus kepada peruntukan RM1.4 juta untuk pembangunan industri asas tani dan pengetahuan usahawan tani yang selari dengan hasrat melihat sektor pertanian ini kekal relevan dan diminati tanpa mengira zaman,” lapor Bernama.
Beliau berkata ia bukan sahaja tertumpu kepada pemain industri semata-mata, tetapi juga mempergiat usaha menarik minat golongan muda termasuk dalam kalangan siswazah untuk menceburi bidang pertanian.
Menurut Jalaluddin peruntukan berkenaan juga dapat digunakan secara maksimum bagi menambah nilai usahawan tani termasuk dari segi strategi pemasaran, penyelidikan dan pembangunan produk serta pengkomersialan ke peringkat antarabangsa.
“Ini kerana Negeri Sembilan memiliki pelbagai jenis produk tempatan berasaskan pertanian yang berkualiti dan berkhasiat. Jadi saya yakin peruntukan besar ini mampu memberi dimensi baharu terhadap sektor pertanian dan industri asas tani,” katanya.
Peruntukan RM22.75 juta untuk sektor berkenaan merangkumi program peningkatan pengeluaran sayuran, buah-buahan dan hasil padi (RM5.25 juta), pengembangan teknologi dan automasi (RM2.5 juta) serta ternakan dan genetik ternakan (RM2.24 juta).
Jumaat lepas, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan ‘Bersama Membina Negeri Madani berjumlah RM555 juta membabitkan ekonomi, pelaburan serta infastruktur, pendidikan dan modal insan, kesejahteraan rakyat serta pertanian.