Masih ramai rakyat Malaysia mangsa penipuan kerja jadi ‘scammer’ di luar negara – Fadillah

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Masih ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan berada di luar negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tanpa mendedahkan jumlah mangsa, beliau berkata kebanyakan mereka yang terjebak dengan sindiket penipuan pekerjaan, tertipu dengan iklan yang ditawarkan di media sosial dan akhirnya dipaksa menjadi ‘scammer’.

“Sebab itulah kita menerima pelbagai mesej dalam Bahasa Melayu yang baik dari luar negara kerana mereka (rakyat Malaysia) dipaksa jadi scammer.

“Saya sendiri banyak terlibat untuk selamatkan anak-anak Sarawak yang sebenarnya terjebak di luar negara dan kos untuk bawa pulang mereka bukan murah, ada juga yang telah meninggal dunia akibat didera,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Justeru, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mengingatkan rakyat Malaysia agar jangan mudah terjebak dengan tawaran pekerjaan di media sosial yang diragui kesahihannya, serta menasihatkan agar menyemak iklan itu dengan mana-mana pihak berwajib untuk memastikan kesahihan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Negara hari ini berkata 158 mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara masih terkandas di negara destinasi setakat November lepas.

Sementara itu Fadillah berkata peningkatan jumlah aktivis, pengintip dan pengganas siber terancang yang memiliki kemampuan untuk merosakkan perkhidmatan dan operasi kerajaan serta organisasi adalah membimbangkan.

Beliau berkata kemajuan pesat teknologi di era digital membuka peluang kepada penjenayah kewangan atau ‘scammer’ untuk menjerat mangsa melalui eksploitasi, manipulasi mental dan tingkah laku yang akhirnya membawa kepada kemerosotan kualiti hidup mangsa.

“Maka kerajaan perlu bergerak selangkah ke hadapan bersiap sedia dengan pelbagai langkah pencegahan yang lebih efektif bagi menghadapi cabaran jenayah siber yang kian dinamik,” katanya.

Beliau berkata institusi perbankan, agensi penguat kuasa undang-undang dan keselamatan perlu terus menjalin kerjasama untuk menangani isu itu dengan melaksanakan undang-undang dan peraturan baharu bagi menangani jenayah penipuan kewangan dengan lebih efektif.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman turut menunjukkan kes jenayah dalam talian meningkat sebanyak 37 peratus bagi tempoh Januari hingga November 2023 berbanding tempoh sama pada 2022 iaitu dari 23,608 kes kepada 32,366 kes dengan nilai kerugian RM1.13 bilion.

Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan yang bermula pada Februari lepas dilaksanakan untuk terus memberi maklumat dan memupuk kesedaran pengguna Internet tentang jenayah dalam talian. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat