1,033 Pesakit Covid-19 Pulih, 1,600 Kes Baru Direkodkan Hari Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kes baharu COVID-19 hari ini masih mencatat empat digit iaitu 1,600 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes positif dalam negara sebanyak 74,294, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 11,604 kes manakala kes pulih hari ini berjumlah 1,033 dengan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 62,306.

Dr Noor Hisham berkata daripada 1,600 kes baharu hari ini, sebanyak 1,597 kes adalah kes penularan dalam negara manakala bakinya kes import.

“Negeri Sembilan melaporkan jumlah kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 541 kes (33.8 peratus), diikuti oleh Selangor 426 kes (26.6 peratus) dan Sabah 248 kes (15.5 peratus).

“Lonjakan kes di Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh pertambahan kes dalam Kluster Bakti iaitu sebanyak 500 kes (92.4 peratus) daripada jumlah kes keseluruhan di negeri itu yang mana kes-kes ini adalah terasing di dalam kawasan penjara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 584 kes (36.5 peratus) dilaporkan hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Bakti (500 kes), Kluster Tembok (49 kes), Kluster PTS Sibuga (17 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (lapan kes), Kluster Matambai (tujuh kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (dua kes), dan Kluster GK Tawau (satu kes).

Sementara itu, katanya terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 384 kes (0.52 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Kedua-dua kes kematian itu dicatatkan di Sabah melibatkan seorang wanita berumur 76 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan anemia, manakala kes kedua melibatkan lelaki berusia 59 tahun mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Sehingga kini, terdapat 129 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat