Afgan Retrospektif Showcase: Sebuah Malam Penuh Makna, Lagu dan Cinta

Nama Afgan bukan lagi asing di pentas muzik Nusantara. Setiap lagu yang lahir daripada suaranya membawa getar perasaan yang sukar dijelaskan lembut namun kuat, sederhana namun penuh makna. Tahun ini, penyanyi tersohor dari Indonesia itu kembali menulis sejarah tersendiri dengan Afgan Retrospektif Showcase, sebuah persembahan istimewa yang bakal diadakan pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Showcase yang dinanti-nantikan ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah malam untuk merenung perjalanan, merayakan kenangan, dan menyelami kejujuran seni yang telah membentuk diri Afgan sejak mula melangkah ke dunia muzik lebih sedekad lalu.

Sejak tiket mula dijual pada 1 Oktober lalu, sambutannya tidak ubah seperti gelombang rindu yang tidak terbendung. Dalam masa singkat, kategori tiket Premium Seat dan VIP Box dilaporkan hampir habis dijual, menunjukkan betapa hangatnya penantian peminat tempatan terhadap kehadiran penyanyi kesayangan ramai itu.

“Sambutan yang kami terima benar-benar luar biasa. Ia bukan sekadar bukti kecintaan peminat terhadap Afgan, tetapi juga tanda bahawa muzik yang lahir dari hati akan sentiasa menemui jalannya,” kata Azlina, wakil penganjur Renjana Idea, yang terharu dengan sokongan peminat Malaysia terhadap konsert tersebut.

Showcase ini bukan sahaja menjadi platform untuk Afgan mempersembahkan karya-karya baru dari album Retrospektif, tetapi juga sebagai ruang untuk beliau kembali bertemu secara langsung dengan peminat setia yang telah mengiringinya sejak awal kerjaya.

Album Retrospektif yang menjadi inti showcase ini merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertama Afgan selepas tujuh tahun. Ia menjadi simbol kembalinya beliau kepada akar seni yang membesarkan namanya pop Indonesia yang kaya dengan emosi, lirik yang jujur, dan melodi yang mendalam.

“Bagi saya, Retrospektif adalah momen untuk berhenti sejenak, memandang ke belakang, dan belajar daripada apa yang sudah terjadi. Ia adalah cerminan perjalanan saya, bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi sebagai manusia,” kata Afgan penuh makna.

Album ini juga mencerminkan sisi diri Afgan yang kini lebih matang dan tenang. Ia dihasilkan dalam suasana sunyi jauh dari Jakarta, di mana beliau menemui ketenangan untuk menulis dan mengekspresikan segala rasa yang selama ini disimpan. “Saya pergi ke tempat yang lebih tenang, lebih sunyi. Di sana saya belajar untuk jujur pada diri sendiri. Banyak yang saya lepaskan dan banyak juga yang saya temui semula,” katanya.

Bekerjasama dengan penerbit berbakat Petra Sihombing, mereka berjaya mencipta lebih daripada 12 lagu dalam masa dua minggu, sebelum memilih 10 yang terbaik untuk dimuatkan dalam album ini. “Prosesnya sangat cepat, tetapi juga sangat jujur. Ada banyak momen di mana saya menangis semasa rakaman kerana ia membawa saya kembali kepada kenangan dan perasaan yang lama terpendam,” ujarnya.

Afgan bukanlah asing dengan pentas-pentas besar di Malaysia. Namun, Retrospektif Showcase dijanjikan berbeza. Zepp Kuala Lumpur dipilih bukan tanpa sebab ruang yang moden tetapi intim itu bakal menjadi tempat Afgan bercerita melalui lagu, dalam suasana yang dekat dan peribadi bersama para peminat.

“Saya mahu konsert ini terasa seperti perbualan antara saya dan peminat bukan dari atas pentas ke arah penonton, tetapi dari hati ke hati. Muzik dalam album ini lebih organik dan jujur, jadi saya mahu mereka merasai setiap emosi, setiap cerita yang saya sampaikan,” katanya.

Showcase tersebut akan membawa penonton menelusuri bab demi bab perjalanan seni Afgan dari era awal yang penuh semangat anak muda hingga kepada fasa kematangan yang lebih reflektif. Selain lagu-lagu baru dari Retrospektif, Afgan juga akan mempersembahkan lagu-lagu ikonik yang telah menjadi runut kehidupan ramai seperti Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa, Ku Dengannya Kau Dengan Dia, Jodoh Pasti Bertemu, Knock Me Out, dan Wajahmu Mengalihkan Duniaku.

Apa yang menjadikan Retrospektif Showcase lebih istimewa ialah pendekatan muzik langsung yang lebih hidup dan beremosi. Afgan akan diiringi barisan pemuzik profesional dari Jakarta dan Kuala Lumpur, diketuai oleh pengarah muzik ternama yang turut terlibat dalam pembikinan albumnya.

“Saya dan pasukan muzik sedang berlatih dengan penuh perhatian terhadap setiap susunan lagu. Kami mahu persembahan ini bukan hanya kedengaran indah, tetapi juga terasa jujur. Setiap bunyi gitar, setiap petikan piano, semuanya harus membawa perasaan,” jelas Afgan.

Selain itu, konsert ini turut menampilkan elemen visual dan pencahayaan yang sinematik – direka bagi membawa penonton “menyelami hati” setiap lagu. Setiap babak konsert akan membawa tema berbeza: dari nostalgia masa muda hingga ke perjalanan mencari diri yang penuh pengharapan.

“Saya ingin penonton bukan hanya menonton konsert, tetapi mengalami sebuah kisah. Mungkin mereka akan menangis, mungkin mereka akan tersenyum, tetapi yang pasti – mereka akan merasakan sesuatu,” katanya perlahan.

Bagi Afgan, Malaysia bukan sekadar lokasi konsert, tetapi sebuah ruang yang menyimpan banyak kenangan. “Kuala Lumpur seperti rumah kedua bagi saya. Peminat di sini sangat istimewa. Dari awal karier saya, mereka sentiasa ada, dan saya mahu membalas kasih sayang itu dengan persembahan yang terbaik,” katanya.

Hubungan Afgan dan peminat Malaysia terbukti kukuh apabila setiap kali beliau tampil di pentas tempatan, tiket sering menjadi rebutan. Tidak hairan apabila Retrospektif Showcase turut menerima sambutan luar biasa, menandakan keterikatan emosi yang mendalam antara penyanyi ini dan para peminatnya.

Sejak menunaikan ibadah haji, Afgan mengakui dirinya lebih tenang dan dekat dengan Tuhan. “Saya selalu membawa tasbih digital ke mana-mana. Ia membantu saya untuk bertenang dan berzikir apabila saya rasa cemas atau penat. Ia sudah jadi kebiasaan yang saya bawa sejak dari Tanah Suci,” katanya dengan senyuman.

Beliau juga menganggap pengalaman itu mengubah pandangannya terhadap kehidupan dan muzik. “Saya kini lebih menghargai setiap momen, setiap orang, setiap lagu. Semua yang berlaku adalah sebahagian daripada perjalanan yang harus saya syukuri,” tambahnya.

Menutup perbualan, Afgan berharap malam Retrospektif Showcase akan menjadi lebih daripada sekadar hiburan. “Saya mahu peminat datang bukan hanya untuk mendengar lagu, tetapi untuk merasakan perjalanan. Saya mahu mereka mendengar setiap nota dengan hati, kerana semuanya lahir dari pengalaman, doa, dan kejujuran,” katanya lembut.

Beliau turut berjanji akan memberikan persembahan terbaik buat peminat Malaysia. “Insya-Allah, malam itu akan menjadi malam yang tidak akan saya lupakan. Saya mahu setiap orang yang hadir membawa pulang kenangan dan perasaan yang indah,” tambahnya.

Tiket Afgan Retrospektif Showcase dijual menerusi www.golive-asia.com dengan harga RM1,398 (VIP Box), RM798 (Premium Seat), RM698 (Normal Seat), RM398 (VIP Standing) dan RM358 (General Standing). Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti laman sosial rasmi Renjana Idea bagi perkembangan terkini.

Pada malam 5 Disember nanti, Zepp Kuala Lumpur bukan sekadar dewan konsert ia akan menjadi ruang bagi satu jiwa yang bernyanyi tentang masa lalu, harapan, dan cinta yang tidak pernah hilang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat