PKPB Di Semenanjung Kecuali Tiga Negeri Untuk Cegah Covid Merebak – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember ini diputuskan kerana pendekatan lebih tegas dan berani mesti diambil sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata negara tidak boleh terus kekal dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memandangkan jumlah jangkitan baharu COVID-19 terus mencatatkan peningkatan.

“Hakikatnya, peningkatan bilangan kes baharu jangkitan COVID-19 telah mendatangkan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat.

“Sehubungan itu, Sidang Khas MKN hari ini telah memutuskan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali di Perlis, Kelantan dan Pahang.

“Selain PKPB ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lokaliti tertentu yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, serentak dengan itu, sekatan perjalanan merentas negeri juga akan dilaksanakan bagi mengurangkan pergerakan orang ramai dan aktiviti sosial sekali gus memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Sementara itu, beliau turut berkata Kerajaan Sarawak dalam sidang khas MKN hari ini turut membentangkan Pelan Persiapan COVID-19 bagi negeri Sarawak.

“Kerajaan Sarawak membuat permohonan untuk menambah bilangan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan meningkatkan kapasiti makmal ujian saringan pengesanan COVID-19 di tujuh buah hospital kerajaan di Sarawak.

“Saya telah minta supaya Kerajaan Sarawak mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meneliti keperluan ini dan diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut berharap kesemua pendekatan yang diputuskan hari ini akan dapat menurunkan jumlah kes baharu jangkitan COVID-19, sekali gus menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat