KUALA LUMPUR – Enam pemimpin Bersatu termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan, akan dipanggil Lembaga Disiplin parti, esok.
Berdasarkan maklumat sumber daripada Bersatu, turut dipanggil Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Pemimpin yang dipanggil akan disiasat atas beberapa dakwaan termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka didakwa terbabit mengumpul SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, lapor BH pada Selasa.
Selain itu, prosiding Lembaga Disiplin dijangka turut menyiasat dakwaan Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu terhadap Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Selain Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal, antara pemimpin lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi dan Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis.
Pada 25 September lalu, Lembaga Disiplin Bersatu terpaksa menangguhkan prosiding bagi memanggil beberapa pemimpin parti, berhubung isu SD bagi mendesak Muhyiddin berundur kerana tidak cukup korum berikutan ketidakhadiran seorang ahli panelnya.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal ketika dihubungi mengesahkan akan dipanggil Lembaga Disiplin esok.
Namun, beliau berkata, pihaknya dipanggil Lembaga Disiplin bukan disebabkan isu SD namun dua kes lain yang tidak mahu didedahkan buat masa ini.
Muhammad Fadhli pula ketika dihubungi turut mengesahkan sudah dihubungi Lembaga Disiplin untuk hadir esok di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya, di sini.
Beliau berkata, pihaknya mengharapkan prosiding itu nanti dapat dijalankan dengan tatacara yang sah dan diadili sebaiknya.
“Paling penting, Lembaga Disiplin harus bebas dari mana-mana tekanan, teliti, adil dan berintegriti dalam mencari kebenaran.
“Contohnya adakah Wan Saiful bercakap perkara salah? Jika salah dakwaannya terhadap Azmin, beliau boleh saman Wan Saiful,” menurut akhbar itu.
Sebelum ini, Wan Saiful mendakwa Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor tidak layak untuk menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video tular yang didakwa membabitkan dirinya pada 2019 belum diselesaikan.



